BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023 pada 29 Januari 2023 bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.

Projek rintis DBP itu diadakan bagi memperkasakan lagi pendigitalan bahan terbitan mereka selain sebagai usaha menjalinkan kerjasama yang baik antara DBP dan UTHM.

Pertandingan yang berlangsung selama 14 minggu itu melibatkan penyertaan pelajar tahun dua program Sarjana Muda Sains Komputer (Pengkomputeran Multimedia) dengan Kepujian, FSKTM.

Sebanyak 12 kumpulan pelajar mengambil bahagian yang setiap satunya mempunyai seorang mentor yang terdiri daripada pensyarah dari Jabatan Multimedia.

Pertandingan tersebut melibatkan dua kategori pembangunan aplikasi multimedia iaitu dengan menggunakan pendekatan realiti terimbuh (AR) dan permainan digital.

Bagi kategori Aplikasi Realiti Terimbuh, kumpulan Cak Cak Bum di bawah seliaan Prof Ts. Dr. Mohd Farhan Mohd Fudzee berjaya meraih tempat pertama dengan mempertaruhkan aplikasi yang dinamakan ‘AR Batu Belah.’

Manakala bagi kategori Permainan Digital, tempat pertama diraih oleh kumpulan Pahlawan Laut Dalam di bawah seliaan PM Dr. Noorhaniza Wahid dengan aplikasi ‘Pendekar Lautan.’

Kedua-dua kumpulan pemenang itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM1500 beserta sijil penyertaan.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed selaku wakil rasmi Ketua Pengarah DBP.

Kesemua hadiah yang ditawarkan kepada kumpulan pemenang ditaja sepenuhnya oleh pihak DBP.

Menurut Dekan FSKTM, Ts. Dr. Azizul Azhar Ramli pihaknya melihat kerjasama UTHM-DBP ini mampu memberi banyak manfaat khususnya kepada pelajar dari Program Sarjana Muda Sains Komputer.

“Pertandingan ini dapat mengetengahkan potensi para pelajar dalam pembangunan aplikasi multimedia yang memenuhi kehendak industri,

“Mereka didedahkan dengan pendekatan industri dalam membangunkan sesebuah aplikasi multimedia yang baik dan memenuhi keperluan pengguna serta mempunyai nilai-nilai komersil.

“Kerjasama dua pihak industri-universiti ini juga berupaya merancakkan lagi projek-projek pendigitalan bahan terbitan bercetak yang berpotensi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Haji Mohd Salahuddin dalam ucapan perasmiannya berkata, UTHM merupakan universiti awam pertama yang dipilih untuk mengadakan pertandingan seumpama ini.

“Selepas ini pihak DBP akan memperluaskan penganjuran program ini ke universiti lain bagi mengembangkan lagi bakat dan daya kreativiti pelajar institut pengajian tinggi.

Beliau turut berterima kasih kepada UTHM yang memberi kerjasama yang baik dalam menjayakan pertandingan itu sekali gus merealisasikan hasrat DBP yang ingin memperkasakan lagi bahan terbitan dalam bahasa Melayu.

“Pihak kami bercadang akan meneruskan kerjasama dengan UTHM dengan melaksanakan beberapa aktiviti lain melalui memorandum persefahaman yang akan dimeterai,” katanya.

 

Kumpulan Cak Cak Bum menang tempat pertama bagi kategori Aplikasi Realiti Terimbuh.
Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed mewakili Ketua Pengarah DBP menyempurnakan majlis penutup pertandingan.