Memandu dalam hujan merupakan keadaan yang dikenal pasti dalam banyak kajian sebagai pemanduan yang memberi risiko kemalangan jalan raya. Dalam banyak kajian dan laporan kemalangan berkaitan cuaca, hujan turut menjadi penyebab utama kemalangan jalan raya di dunia. Keadaan akan bertambah bahaya jika hujan lebat dan disertai ribut atau banjir.
Kenapa hujan menjadi bahaya kepada pemandu kenderaan di atas jalan raya?Ini berkaitan dengan ketidakupayaan tayar kenderaan berfungsi seperti biasa dalam cuaca yang normal. Contohnya, dalam keadaan cuaca normal yang baik, permukaan tayar kenderaan yang dipandu mempunyai daya cengkaman dan geseran yang baik dengan permukaan jalan yang keras. Haba yang dihasilkan dari getaran dan ubah bentuk tayar yang bergerak di atas permukaan jalan akan menghasilkan geseran yang membantu tayar ‘melekat’ pada permukaan jalan.
Keadaan ini berlainan ketika hari hujan dan permukaan jalan menjadi basah. Walaupun dalam keadaan hujan renyai, ia boleh menyebabkan kegelinciran tayar kenderaan dari permukaan jalan. Ini kerana air akan memenuhi rongga-rongga di atas jalan dan melicinkan permukaannya. Kesannya, haba dan geseran yang sepatutnya terhasil pada permukaan kering menjadi berkurangan menjadikan permukaan yang lebih licin berbanding keadaan kering.
Keadaan ini akan mengurangkan kuasa cengkaman tayar dengan permukaan turapan. Situasi ini dinamakan sebagai hydroplaning. Apa yang akan berlaku adalah kenderaan yang dipandu berada seperti dalam keadaan terapung di atas permukaan air yang nipis. Akibatnya pemandu mudah kehilangan kawalan stereng dan brek ke atas kenderaan yang dipandu.
Selain itu, risiko kemalangan ketika hujan juga berkait dengan kemampuan pemandu dan kawalan kenderaan bertindak balas. Ketika hujan lebat terutamanya, masa tindak balas adalah lebih perlahan berbanding ketika keadaan kering. Hujan akan menyebabkan penurunan keupayaan persepsi pemandu terhadap jarak penglihatan dan seterusnya meningkatkan jarak membrek serta jarak berhenti (stopping sight distance).
Persepsi pemanduan ini sangat berkait rapat dengan risiko kemalangan kerana ia mempengaruhi kebolehan pemandu untuk bertindak balas dengan cepat sekiranya berlaku kecemasan semasa dalam pemanduan. Sebagai contoh ketika hendak mengelak objek di atas jalan, pemandu perlu tahu bila brek perlu ditekan dan berapa tempoh masa dan jarak yang selamat sama ada untuk menukar lorong atau memberhentikan kenderaan tanpa melanggar objek tersebut atau dilanggar oleh kenderaan di belakang.
Air yang bertakung di permukaan jalan boleh memberi bahaya kepada kenderaan. Lubang atau kerosakan di atas permukaan jalan tidak akan kelihatan. Pemandu yang melanggar lubang ini bukan sahaja boleh merosakkan kenderaan mereka malah boleh hilang kawalan dan menyebabkan kemalangan.
Penglihatan pemandu juga boleh terjejas semasa dalam keadaan hujan. Wiper kenderaan berkemungkinan tidak dapat mengalihkan air dari permukaan cermin kenderaan dengan cepat dan efisyen ketika hujan lebat. Keadaan ini akan menjejaskan penglihatan pemandu, bertambah buruk lagi kehadiran pengguna jalan raya lain seperti pejalan kaki, penunggang motosikal atau basikal mungkin tidak dapat dilihat.
Sama seperti penglihatan hadapan dan penglihatan sisi dari cermin sisi kenderaan turut juga terjejas. Ini jelas membawa bahaya sekiranya pemandu kenderaan tidak berhati-hati ketika memotong kenderaan hadapan. Selain itu fungsi lampu hadapan kenderaan juga pasti berfungsi dengan lemah semasa hari hujan kerana air hujan akan menyebabkan cahaya lampu dari arah bertentangan menjadi berteraburan kerana pantulan cahaya yang terjejas Ini pasti menjadi kesukaran untuk melihat apa-apa objek di hadapan dengan jelas.
Oleh itu, teknik pemanduan yang betul semasa hujan adalah penting untuk mengurangkan risiko kemalangan. Ini termasuklah, memandu dengan perlahan, menjarakkan kenderaan anda dengan kenderaan di hadapan, menyalakan lampu, memastikan tayar kenderaan dalam keadaan baik dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.
Profesor Madya Dr. Munzilah Md. Rohani
Pusat Pemanduan Bijak
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)