KUALA TERENGGANU – Syarikat Pemula Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mempertaruhkan aplikasi bertajuk ‘angkasARaya’ telah memenangi tempat kedua bagi kategori Interaktif Media (Augmented Reality) ketika menyertai Pertandingan Digital Innovation Creativepreneur (DICE 2022) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Kumpulan pelajar dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat yang dibimbing oleh pensyarah merangkap mentor, Dr. Che Samihah Che Dalim itu bertanding di peringkat nasional bersama 20 universiti awam (UA) yang lain.

AngkasARaya merupakan aplikasi yang memberikan pengalaman interaktif kepada kanak-kanak bagi meneroka dunia aeroangkasa menerusi dua model 3D kapal angkasa, NASA Artemis dan space X Falcon serta 14 roket dengan bendera negeri-negeri di Malaysia.

Aplikasi AngkasARaya direka bentuk dan dibangunkan dengan menekankan dua aspek penting iaitu keseronokan dan motivasi bagi memupuk minat pengguna khususnya kanak-kanak.

Elemen yang digunapakai untuk mencapai dua aspek ini ialah interaksi masa nyata, permainan serta eksplorasi.

Menurut Dr. Che Samihah , bidang aeroangkasa menjadi salah satu bidang penting kepada negara dan generasi muda perlu didedahkan dengan seberapa banyak ilmu berkaitan bidang ini.

“Atas sebab inilah kami mengambil inisiatif untuk memberi pendedahan kepada anak-anak kecil bagi memupuk minat mereka terhadap bidang tersebut.

“Kami bangunkan satu aplikasi yang memberi peluang kepada kanak-kanak merasai pengalaman melancarkan roket biarpun hanya berada di halaman rumah mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu, majlis penutup pertandingan tersebut telah diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) pada 12 Januari 2023 lalu bertempat di Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu.

Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi, Nooraidah Abdullah hadir merasmikan majlis tersebut sekali gus menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Selain memenangi hadiah wang tunai RM3500, trofi dan sijil, Syarikat Pemula pelajar akan diberi peluang untuk dibimbing oleh MDEC selama tiga bulan bagi mengembangkan perniagaan mereka.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com), 28 Januari 2023:

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/ipt/buletin-ipt/aplikasi-angkasaraya-raih-tempat-kedua-kategori-interaktif-media-di-dice-2022/