Oleh Muhammad Ammar Shafi, Aliya Syaffa Zakaria

SHAH ALAM – Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalinkan kerjasama dengan Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) di bawah geran penyelidikan Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) melibatkan kos bernilai RM80,600.

Projek yang diusahakan sejak pertengahan tahun 2021 itu melibatkan kerjasama bidang penyelidikan dan pembangunan berkaitan pengurusan teknologi dalam mencari penyelesaian terhadap penentu gejala kanser paru-paru.

Rentetan itu, UTHM telah menyelaras satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTHM dan UiTM pada 22 November 2022 lalu bertempat di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, Selangor.

UTHM diwakili oleh Dekan FPTP, Profesor Dr. Wan Fauzi @ Wan Fauziah Wan Yusoff manakala UiTM pula diwakili Naib Canselornya, Profesor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor.

Kerjasama dua pihak yang juga merupakan program di bawah Kementerian Pengajian Tinggi itu telah diusahakan oleh Pensyarah Kanan FPTP, Dr. Muhammad Ammar Shafi.

Temeterainya perjanjian kerjasama untuk tempoh dua tahun itu juga selari dengan misi UTHM dalam menyediakan penyelesaian teknikal untuk keperluan industri dan komuniti berasaskan paradigma tauhid, selain menyokong UTHM ke arah Global Technopreneur Universiti pada tahun 2030 (GTU 2030).

“UiTM dan UTHM mempunyai kekuatan tersendiri dalam memacu pembangunan penyelidikan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berdaya saing dalam konteks sains dan teknologi.

“Usaha sebegini dapat mengetengahkan kepakaran yang ada di universiti masing-masing dalam memenuhi keperluan industri dan komuniti terutamanya dalam bidang pengurusan dan teknologi,” kata Dr. Muhammad Ammar, yang juga penyelaras MoU.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. mediadigitaljohor.gov, 13 Disember 2022:

UTHM JALIN KERJASAMA UiTM DALAM PENYELIDIKAN TEKNOLOGI PERUBATAN