Kepentingan panduan kerangka elemen-elemen pembangunan modal insan ke arah masyarakat sejahtera pernah dikupas dalam sebuah artikel bertajuk ‘Pembangunan Masyarakat ke arah Kesejahteraan Berteraskan Pembangunan Insan.’Kupasan ini menjelaskan pembangunan insan berlandaskan perspektif Islam menitikberatkan kesejahteraan masyarakat dan negara bermula dengan individu bergelar insan. Modal insan generasi cemerlang berlaku pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. yang dapat mensejahterakan umat manusia dengan memiliki kekentalan akidah, akhlak teladan, daya juang yang tinggi serta jiwa penerokaan yang hebat. Nilai kualiti ini telah dinyatakan sebagai elemen-elemen dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang keseluruhannya telah memberi impak dalam sistem pendidikan negara.

Elemen terpenting FPK adalah melalui perkembangan potensi individu iaitu sesuatu yang lahir dalam diri seseorang. Setiap individu mempunyai kebolehan masing-masing. Potensi ini dianggap kurniaan Tuhan yang merangkumi aspek intelektual, rohani, emosi, dan fizikal. Melalui pendidikan, potensi atau bakat semula jadi individu dapat dikembangkan dan terus ditingkatkan. Potensi individu harus dikembangkan ke tahap optimum dengan mengintegrasikan bakat dan kebolehan tersendiri dan saling berkait antara satu sama lain dikenali sebagai potensi holistik dan bersepadu. Perkara ini jelas diketengahkan dalam FPK bagi mengembangkan individu yang seimbang dan harmoni. Individu yang memiliki keperibadian yang bersepadu dapat menikmati kepuasan dan kebahagiaan secara rohani. Malah, pada masa yang sama melahirkan nilai bersyukur dan bersedia menerima cabaran serta mampu menyelesaikan dan mengatasi sesuatu masalah.

Individu yang seimbang pula mempunyai keseimbangan dalam perkembangan fizikal, emosi, rohani dan sosial. Aspek fizikal terangkum seperti menjaga ketangkasan fizikal dan kesihatan yang baik membolehkan individu bekerja secara bebas dan menyumbang ke arah kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Sementara itu aspek intelektual merangkumi pengetahuan kognitif iaitu kemampuan berfikir secara logik, selain berfikir secara rasional dan mampu menyelesaikan masalah. Berpengetahuan dan mampu berfikir secara kritis dan kreatif adalah penting. Impak dari segi aspek rohani dan emosi pula merangkumi elemen seperti kepercayaan kepada Tuhan dan agama, kestabilan rohani, kecerdasan emosi, penghayatan nilai moral dan norma masyarakat, tingkah laku yang baik, kesetiaan dan kesediaan untuk berkorban demi rakyat dan negara.

Kepercayaan dan berbakti kepada Tuhan adalah salah satu aspek penting seperti yang dinyatakan dalam artikel sebelum ini iaitu berlandaskan agama Islam. Kepercayaan memberi keyakinan kepada manusia bahawa Tuhan yang menyediakan segala perihal persekitaran yang berlaku. Hakikat hukum alam sebenarnya ialah Hukum Tuhan. Oleh itu, individu harus menunjukkan kebaktian; mempercayai tanggungjawab kepada Tuhan berkenaan dengan usaha untuk mentadbir dan memajukan alam sekitar yang menjadi elemen penting dalam kesejahteraan masyarakat.

Malaysia bercita-cita melahirkan warga yang berpendidikan dan cekap dengan nilai akhlak mulia. Sikap-sikap positif seperti suka membaca, rajin memperoleh dan mengaplikasikan pengetahuan, bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada diri mereka sendiri tetapi juga kepada orang lain. Misalnya saintis yang berpendidikan tinggi menggunakan pengetahuan mereka mencipta teknologi tinggi untuk kebaikan orang lain seperti mengembangkan kaedah menghentikan Malaria dan HIV. Individu cekap berpengetahuan dengan pelbagai kemahiran dapat menyumbang kepada kemajuan negara serta mampu melaksanakan tugas mereka sebaiknya. Manakala penerapan nilai-nilai moral yang tinggi dan berdisiplin disusuli dengan amalan mulia dalam kehidupan merupakan individu berakhlak mulia. Kepentingan intelektual yang tinggi bersama penerapan budi pekerti yang mulia mewujudkan sebuah masyarakat dan negara yang sejahtera. Kebertanggungjawaban ini diharapkan mampu mencapai kesejahteraan diri. Bertanggungjawab terhadap Tuhan, bangsa dan negara dalam melaksanakan tugas dengan jujur dan berdedikasi adalah apa yang diharapkan oleh pemerintah dalam melahirkan modal insan. Selain bertanggungjawab, kesejahteraan diri juga sangat penting kerana dapat menyumbang kepada kemajuan masyarakat, agama dan juga negara.

Selanjutnya, memupuk kemampuan rakyat Malaysia dalam memberi sumbangan kepada negara. Melalui pendidikan dan latihan yang betul, individu dapat menggunakan kreativiti dan kemahiran inovasi untuk meningkatkan produktiviti mereka untuk membawa tahap pembangunan ekonomi yang lebih tinggi. Ia tidak terhad dalam sektor perindustrian mahupun pembuatan, malah sektor perkhidmatan yang melibatkan jurusan profesional seperti doktor, peguam dan lain-lain.

Aspek terakhir ialah keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Keharmonian kaum dapat dicapai melalui amalan sikap yang betul seperti bertoleransi, bekerjasama, saling menghormati dan memupuk perpaduan pelbagai kaum di Malaysia untuk mempromosikan keharmonian dan keamanan negara. Persekitaran yang harmoni membantu dalam pembangunan ekonomi dan kemajuan semua bidang, dan mendorong pelabur untuk melabur di negara kita dan mengembangkan industri pelancongan kita.

Bahagian terpenting ialah kesejahteraan masyarakat melibatkan unsur-unsur FPK dan memasukkan elemen-elemen tersebut dalam pembangunan insan. Lebih-lebih lagi, pembangunan insan harus dilaksanakan berteraskan ajaran Islam. Oleh itu, untuk menghasilkan taraf moral individu yang tinggi dan mengembangkan perkembangan diri mereka menerusi lima elemen penting yang seimbang dari segi fizikal, emosi, rohani, intelektual dan sosial, masyarakat juga harus dibangunkan berlandaskan falsafah yang telah dirumuskan iaitu Falsafah Pendidikan Kebangsaan demi kesejahteraan dan keharmonian sejagat.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam pembangunan insan ini memungkinkan untuk mewujudkan persekitaran komuniti baharu dan mempraktikkan pelbagai gaya hidup dan kemahiran bersesuaian dengan matlamat FPK. Penerapan ini penting kerana falsafah telah mengajar cara untuk menjadi orang yang lebih baik dan menjadi individu yang sopan untuk mencapai tahap standard tertinggi dalam kehidupan. Akibatnya, kesannya dilihat terutama dalam kehidupan masyarakat dengan meningkatkan kemahiran asas, kemampuan berfikir dan menghasilkan warga berpotensi yang dapat menyumbang idea baharu untuk kemajuan negara, masyarakat dan agama.

 

 

 

Anim Zalina Azizan

Pensyarah Kanan / Penyelidik

Kumpulan Fokus TechnoBiz

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)