BATU PAHAT – Bagi mencungkil bakat kepimpinan pelajar, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama Production and Operation Club (Prop C) di bawah naungan Kelab Pengurusan Teknologi telah melaksanakan Program Energizing “A” Great Leader bertempat di Pusat Minda Emas (PuMAS) pada 28 dan 29 Oktober 2022.
Program yang melibatkan pelajar UTHM dan pelajar STPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senggarang itu diadakan bertujuan untuk mencungkil bakat kepimpinan dan membina keyakinan diri yang tinggi dalam kalangan pelajar.
Selain itu ia juga bertujuan untuk melahirkan seorang pemimpin yang cemerlang dan bijak terutamanya dalam menyelesaikan masalah, di samping sebagai usaha mewujudkan semangat bekerjasama, perpaduan dan patriotik dalam kalangan pelajar universiti dan masyarakat setempat.
Program selama dua hari itu diisi dengan sesi perkongsian ilmu berkaitan teknik komunikasi/pengucapan awam kepada pelajar UTHM yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Muhammad Najhan Abdul Rahim, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal), Pejabat Daerah Johor Bahru.
Sesi tersebut diadakan bertujuan meningkatkan lagi kemahiran komunikasi, membina keyakinan diri dan memupuk kemahiran membuat keputusan pelajar UTHM.
Berbekalkan apa yang telah dipelajari sehari sebelumnya, pelajar UTHM yang bertindak sebagai fasilitator program telah menjalankan beberapa aktiviti bersifat intelektual bagi membuka minda pelajar STPM untuk menjadi lebih kreatif dan bijak menyusun strategi dalam apa jua keadaan.
Kerjasama antara pelajar UTHM dan pelajar STPM telah mewujudkan hubungan mentor mentee yang erat sekali gus memupuk semangat perpaduan dalam kalangan mereka.
Sementara itu Dr. Chan Shiau Wei dan Dr. Khadijah Md Ariffin dari FPTP pula turut berkongsi ilmu mengenai “Tips Pembelajaran Mahasiswa Cemerlang di Universiti” dan “Pengurusan Kewangan Mahasiswa di Universiti”.
Sesi bersama pensyarah UTHM tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar STPM berkaitan suasana kampus di universiti.
Dekan FPTP, Profesor Dr. Wan Fauziah Wan Yusoff turut hadir merasmikan program tersebut.
Hadir sama, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Sabariah Eni, Guru Penolong Kanan Tingkatan 6, Kama Azhar Ab Karim selaku wakil rasmi Pengetua SMK Senggarang, Guru Kokurikulum Tingkatan 6, Noor Sharmiza Mohd Nasir selaku Guru Kokurikulum serta guru-guru pengiring dari SMK Senggarang.
Prof. Wan Fauziah berharap terlaksananya program seumpama itu dapat membentuk mahasiswa UTHM yang mempunyai nilai kepimpinan dan integriti yang tinggi serta dapat memupuk sikap kesukarelawanan.
“Keberhasilan pelajar yang terlahir dari program ini diharap dapat menjadi contoh kepada pelajar lain sekali gus dapat merealisasikan hasrat UTHM untuk melahirkan mahasiswa berkemahiran tinggi dan profesional serta mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi,” katanya.