Oleh CATHERINE IRENE ANAK MILTON dan NUR ADRIANA MOHDAZMAN utusannews@mediamulia.com.my

UTUSAN MALAYSIA | 2 NOVEMBER 2022

PETALING JAYA: Kerajaan stabil, aman dan memperjuangkan nasib anak muda termasuk mengatasi masalah pengangguran mahasiswa antara ciri yang diinginkan terhadap parti-parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM), Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, mahasiswa kini cenderung untuk memilih sebuah kerajaan yang memperjuangkan dan mengutamakan isu-isu berkaitan mereka.

Menurutnya, kebanyakan mahasiswa kini lebih menjurus memilih parti politik yang mengutamakan nasib mereka dan tidak hanya berbalah sesama sendiri demi kepentingan diri masing-masing.

“Pada pandangan saya, mahasiswa tidak suka dengan keadaan politik yang tidak stabil, dan bergaduh sesama sendiri seperti yang kita lihat sekarang,

“Jadi, apa yang mahasiswa inginkan, mereka lebih cenderung dalam memilih parti politik dan kerajaan akan datang yang lebih aman, stabil dan juga makmur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kata Wan Amsyar Hadie, pemilihan parti bagi mahasiswa adalah bergantung kepada kekuatan manifesto parti tersebut yang prihatin dan cakna akan isu semasa mahasiswa.

Sementara itu, Presiden Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd. Sabri berkata, bagi PRU kali ini mahasiswa menginginkan pemimpin yang senang didekati mahasiswa.

Jelasnya, pemimpin untuk calon PRU15, haruslah bersikap akauntabiliti, bersikap amanah dan berintegriti tinggi.

“Kami berharap dengan apa yang terjadi pada PRU14, tidak akan berlaku lagi pada PRU15, setelah apa yang dijanjikan kepada mahasiswa, namun, gagal direalisasikan sepenuhnya oleh pemimpin politik,” katanya.

Beliau berkata, suara mahasiswa menginginkan agar kerajaan dapat memperbanyakkan peluang pekerjaan kepada graduan, dengan itu kadar pengangguran di negara ini dapat dikurangkan.

Tambahnya, antara isu lain yang perlu difokus oleh kerajaan yang akan datang ialah hala tuju pendidikan yang lebih efisien.

“Saya berharap agar silibus dalam bidang pengajian tinggi yang ditawarkan di setiap Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini dapat dikaji semula, agar kualiti pendidikan negara dapat ditingkatkan.

Muhammad Amir juga berharap agar kerajaan boleh menambahkan inisiatif-inisiatif serta bantuan kepada mahasiswa.

Beliau berkata, untuk kerajaan akan datang, barisan pemerintahan diharap terdiri daripada pemimpin berwajah baharu dan dapat memberi nafas baharu kepada barisan kepemimpinan negara.

“Dengan adanya pemimpin yang lebih muda, akan adanya idea-idea baru yang dapat diketengahkan,” katanya.

Sementara itu, YDP MPP Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Zul Fikri Sallehuddin berkata bahawa mereka tidak mahu kerajaan yang bertukar-tukar seperti sebelum ini.

Menurutnya, mereka tidak mahu kerajaan yang bersikap pilih kasih dalam menghulurkan bantuan ketika menjadi kerajaan yang memerintah kelak.

Bagi mahasiswa yang pertama kali mengundi pula, beliau berharap dengan adanya teknologi terkini dan media sosial yang memaparkan apa-apa sahaja berkenaan parti tersebut, mahasiswa boleh membuat penilaian sendiri.

Beliau juga berharap agar mahasiswa yang dapat memilih parti yang dijangka kuat dan berpotensi untuk menang besar pada PRU15.

YDP MPP Universiti Teknologi MARA (UITM), Rasydan Mohd. Hassan berkata, calon PRU yang akan memenangi kerusi di parlimen bagi nanti, bukan sahaja harus menggerakkan apa-apa inisiatif tetapi juga perlu memastikan ada keadilan.

Beliau berkata, parti yang menang menjadi kerajaan selepas PRU15, boleh menumpukan kepada masalah penyelesaian terbaik bagi kos sara hidup rakyat yang meningkat.

“Kita dapat lihat bahawa sejak Covid-19 melanda, kos sara hidup rakyat semakin meningkat dan kesannya turut dirasai kebanyakan mahasiswa.

“Kita pasti mahukan pembukaan ekonomi baharu, yang dapat menjamin jangka masa panjang penduduk, di samping memberi pekerjaan semata-mata,” jelasnya.

Tambahnya, sejak pelaksanaan Undil8, majoriti besar mahasiswa yang pertama kali akan mengundi dengan lebih banyak menerima informasi sesuatu calon, ia boleh menjadi kelebihan untuk mahasiswa mengundi calon tersebut.

Dalam pada itu, YDP MPP, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Muhammad Saiful Amirul Shahrul Nizam berkata, mahasiswa pada waktu kini inginkan kestabilan daripada parti-parti politik kerana daripada situ boleh menjurus kepada keadaan ekonomi yang stabil.

“Bila ekonomi stabil, ringgit juga akan naik. Jadi, bantuan-bantuan boleh diberikan kepada mahasiswa-mahasiswa dan apa yang kita tengok sekarang, parti-parti politik ini tidak seharusnya mengetepikan golongan pelajar, mereka juga perlu menitikberatkan dan mengutamakan kebajikan mahasiswa.

“Kalau boleh, mahasiswa-mahasiswa mahukan kembali pucuk pimpinan kerajaan yang lepas atas faktor kebajikan pelajar yang bagi saya terjaga dengan baik kerana sebelum ini kami menerima bantuan seperti bantuan baucar buku, kad prihatin dan sebagainya, jadi saya harap perkara seperti itu akan kekal kerana ia banyak membantu kami dari aspek kewangan,” ujarnya.

Tambah Saiful, fleksibiliti juga penting dalam memilih parti politik yang betul kerana bukan sahaja mereka akan memilih parti politik yang mengutamakan kebajikan pelajar tetapi juga parti-parti yang akan mengotakan janji mereka dan bukanlah hanya sekadar janji kosong.

YDP MPP Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohammad Haziq Zikri Zainuri juga mempunyai pendapat yang sama kerana baginya, mahasiswa kini lebih memilih kerajaan atau parti politik yang akan mengangkat dan memperjuangkan suarasuara golongan belia.

Mohammad Haziq berpendapat, manifesto-manifesto yang menitikberatkan tentang ekonomi adalah suatu perkara yang bagus kerana ia dapat memberi manfaat kepada pelajar terutamanya yang kurang berkemampuan.

“Apa yang saya lihat sekarang, perkara kritikal adalah dari segi ekonomi kerana seperti yang kita tahu, ‘kos sara hidup sangat tinggi dan perkara ini sudah tentu memberi kesan besar kepada mahasiswa.

Berita ini juga diterbitkan di :

1. utusan.com, 2 November 2022 : https://www.utusan.com.my/nasional/2022/11/mahasiswa-mahukan-kerajaan-stabil-fahami-anak-muda/

2. melaysiakini.com, 2 November 2022 : https://www.melaysiakini.com/mahasiswa-mahukan-kerajaan-stabil-fahami-anak-muda-63004.html

Langsung Dari Batu Pahat: Menjelang PRU-15 di Johor

3. Liputan Buletin Bernama @Bernama TV 502 | 1 November 2022 :