Oleh Aryani Ahmad Latiffi

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama lapan universiti awam (UA) menjalin kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam bidang Building Information Modeling (BIM) bagi menghasilkan projek penyelidikan dan bukan penyelidikan.

Inisiatif kolaborasi dengan universiti tempatan atau organisasi luar di bawah Adaptasi BIM dalam Pelaksanaan Projek Melalui Pelan Strategik JKR 2016-2020 bertujuan untuk mengukuhkan jalinan kerjasama di antara semua pihak terlibat, melaksanakan program yang terancang bagi memperluaskan skop potensi peluasan penggunaan BIM dalam kitar hayat pengurusan aset menyeluruh merangkumi aspek kajian, pembangunan, penyelidikan dan latihan dan mewujudkan ekosistem dan transformasi pengetahuan BIM dengan lebih sistematik.

Kerjasama ini dapat memberi peluang kepada semua pihak untuk mengeksplorasi bidang BIM dalam usaha membantu meningkatkan tahap keberkesanan sistem penyampaian projek dan memacu produktiviti industri pembinaan di era IR 4.0.

Kerjasama melalui Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) itu dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) yang diadakan pada 7 September 2020  lalu bertempat di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Dan Teknologi JKR (CREaTE), Alor Gajah, Melaka.

 Kerjasama JKR dan sembilan UA selama dua tahun itu telah menghasilkan 31 projek penyelidikan dan 46 aktiviti berkaitan program bukan penyelidikan.

UTHM berjaya menyelesaikan dua projek penyelidikan dalam aspek inovasi dan teknologi serta tujuh program bukan penyelidikan bersama JKR menerusi MoU tersebut.

Program bukan penyelidikan yang berjaya dilaksanakan oleh kedua-dua pihak ini terdiri daripada webinar, forum, persidangan dan juga penerbitan bersama dalam penghasilan poster dan juga jurnal artikel.

Walaupun terdapat pelbagai isu dan cabaran yang perlu ditempuhi terutama semasa negara menghadapi pandemik Covid-19, UTHM terus komited dalam memastikan program penyelidikan dan bukan penyelidikan dapat direalisasikan dan memberi impak kepada kedua-dua pihak.

Menurut Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR), Ir. Dato’ Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman semasa mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan bagi program Memorandum Persefahaman (MoU) bidang Building Information Modelling (BIM) pada 21 Oktober 2022 lalu, kerjasama dalam bidang BIM akan diteruskan dengan pelaksanaan pelbagai penyelidikan berkaitan potensi peluasan penggunaan BIM serta integrasi di antara BIM dan teknologi baharu muncul Resolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Tambah beliau, usaha sama dalam bidang teknologi pendigitalan dapat bergerak seiring dengan perkembangan semasa bagi mempercepatkan adaptasi teknologi pembinaan ke arah yang lebih mampan.

“Kerjasama antara semua pihak dapat membantu menghasilkan solusi dan inovasi dalam menambahbaik sistem penyampaian projek secara BIM.

“Pembangunan modal insan berteraskan teknologi baharu juga dapat dilaksanakan secara holistik di peringkat akar umbi dan lebih awal bagi melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya.

Mesyuarat Penyelarasan tersebut disertai oleh Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, Dekan dan beberapa orang staf akademik dari sembilan UA terpilih.

UTHM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim iaitu Naib Canselor UTHM bersama Penyelaras MoU JKR BIM dan UTHM iaitu Profesor Madya Dr. Aryani Ahmad Latiffi dari FPTP dan dua ahli jawatankuasa iaitu Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) FPTP, Profesor Madya Dr. Md Asrul Nasid Masrom dan Ir. Dr. Mohammad Soffi Md Noh dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB).

Program kerjasama antara JKR dan sembilan UA itu dilihat dapat menyokong hasrat kerajaan untuk mendigitalisasikan industri pembinaan dan pengurusan aset menyeluruh sejajar dengan perkembangan IR 4.0.

BIM merupakan salah satu teknologi yang semakin meluas diguna pakai dalam industri pembinaan.

Teknologi BIM yang diguna pakai dalam industri pembinaan memberi kebaikan dalam tempoh jangka panjang kepada semua pemain industri tersebut yang terlibat dalam semua peringkat pengurusan sesebuah projek pembinaan.

Penggunaan teknologi ini telah membuktikan bahawa masalah dari aspek kelewatan masa pembinaan, peningkatan kos dan penjejasan kualiti sesebuah projek pembinaan dapat diatasi dan diuruskan dengan lebih baik.

 

Naib Canselor UTHM (dua dari kiri) bersama Penyelaras MoU JKR BIM dan UTHM, Profesor Madya Dr. Aryani Ahmad Latiffi dari FPTP dan dua ahli jawatankuasa iaitu Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) FPTP, Profesor Madya Dr. Md Asrul Nasid Masrom dan Ir. Dr. Mohammad Soffi Md Noh dari FKAAB.