Oleh Mohd Nur Syufaat Jamiran

BATU PAHAT – Bagi meneruskan kesinambungan program Qualitative and Quantitative Research Colloquium Series (Q2RCS) 2022, bengkel Ask Dr Nur siri keempat telah diadakan pada 25 September 2022 lalu.

Bengkel anjuran Pusat Penyelidikan Sustainable Professional Education for Excellent Development (SPEED), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) itu bertujuan memastikan ilmu metodologi dapat dikuasai sebaiknya oleh pelajar pascasiswazah dalam menghasilkan kajian yang sistematik dan berkualiti.

Bengkel konsultansi penyelidikan kualitatif yang dijalankan secara dalam talian itu telah dijayakan oleh Dr. Nur Sofurah Mohd Faiz yang merupakan jurulatih penyelidik kualitatif yang diiktiraf oleh Qualitative Research Association of Malaysia (QRAM).

Sebelum ini tiga siri bengkel dengan tema yang berbeza telah dilaksanakan pada 26 Jun, 24 Julai dan 28 Ogos 2022.

Bermula dengan Designing Your Qualitative Research pada siri pertama, Crafting Interview Question and Ethical Documents pada siri kedua, A to Z Analysing Qualitative Data pada siri ketiga dan diakhiri dengan Presenting the Sound Qualitative Report pada siri keempat.

Bersesuaian dengan nama bengkel, peserta berpeluang bertanyakan tentang permasalahan kajian kualitatif yang mereka hadapi di samping dapat berkongsi idea dan pengalaman mereka sepanjang menjalankan kajian masing-masing.

Bengkel yang melibatkan kumpulan fokus pelajar pascasiswazah ini mendapat maklum balas yang sangat positif dalam kalangan peserta dan mereka berharap program sebegini diteruskan lagi pada masa akan datang.

Oleh kerana sambutannya amat menggalakkan, pihak penganjur telah meneruskan bengkel seumpamanya dengan nama ‘Ask Dr. Nur Clinic’ dengan kerjasama Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), UTHM.

Bengkel Ask Dr Nur Clinic yang turut menekankan kemahiran penyelidikan kualitatif ini akan dijalankan setiap hari Ahad bertempat di Bilik Eksplorasi 6, Aras 3, PTTA.

Kepada para pelajar yang memerlukan khidmat konsultasi tersebut, boleh hubungi pihak penganjur melalui emel corspeed@uthm.edu.my untuk mendapat keterangan lanjut.