BATU PAHAT – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraih gelaran johan keseluruhan bagi Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat Universiti Awam (UA) yang dianjurkan buat kali ke-16 bermula pada 20 September 2022 lalu.

UKM berjaya meraih gelaran tersebut melalui projek “Aduan Sistem Maklumat Radiologi Yang Tinggi” yang dihasilkan oleh kumpulan Benuacipta kategori Pengurusan.

Menurut Ketua Projek, Muhammad Nizam Mohd Sobri, sistem tersebut dibangunkan bagi menambah baik permohonan pemeriksaan radiologi yang sebelum ini dijalankan secara manual menggunakan borang pemeriksaan.

“Permohonan secara manual akan mengakibatkan proses permohonan lewat, aliran kerja tidak cekap, berlaku kesilapan data dan sering menerima aduan daripada pelanggan sekali gus memberi impak kepada pesakit yang memerlukan rawatan segera,” katanya.

Makanya satu sistem baharu telah dibangunkan bagi menjadikan kerja lebih efisyen, mengurangkan aduan pelanggan, menjimatkan masa dan kos barang pakai habis serta bagi mengurangkan langkah prosedur yang diperlukan.

Pemilihan para pemenang kali ini sinonim dengan objektif penganjuran konvensyen iaitu untuk berkongsi idea dan amalan terbaik bagi meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan UA di Malaysia, di samping mencungkil kreativiti serta idea baharu dalam reka bentuk dan inovasi kreatif.

Selain itu, konvensyen ini juga menjadi platform untuk menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan warga universiti menerusi aktiviti inovasi, sains dan teknologi sekali gus sebagai pemangkin bagi penjanaan penyelidikan, inovasi dan daya cipta.

Bertemakan “Minda Kreatif Terajui Inovasi Sains dan Teknologi,” Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dipilih menjadi tuan rumah untuk penganjuran Konvensyen KIK pada tahun ini.

Konvensyen KIK kali ini menyaksikan penyertaan 48 kumpulan dari UA, yang mana 28 kumpulan bersaing bagi kategori kumpulan ‘Pengurusan’ manakala 20 kumpulan lagi mewakili kumpulan ‘Teknikal.’

Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Konvensyen KIK Kali Ke-16 yang diadakan pada 4 Oktober 2022 bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk UTHM.

Beliau dalam ucapannya menekankan kepentingan inovasi dan penambahbaikan perkhidmatan dalam sesebuah organisasi agar organisasi tersebut terus kekal relevan sepanjang masa.

“Saranan oleh kepimpinan tertinggi negara supaya semua penjawat awam perlu memiliki kapasiti intelektual, nilai kreativiti dan inovasi yang tinggi dalam memastikan perkhidmatan awam menjadi lebih cemerlang wajar disambut secara positif dan optimis oleh seluruh warga universiti,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran konvensyen seumpama ini menuntut peserta menggunakan minda kreatif dan daya imaginasi yang tinggi, yang mampu memberi nilai tambah kepada kecekapan perkhidmatan dan penghasilan produk.

“Makanya, penganjuran Konvensyen KIK ini saban tahun sejak 2006 lagi diharap dapat menjadi platform dalam menyuburkan budaya kreatif dan inovatif dalam kalangan warga universiti, termasuklah sektor awam dan swasta selaras dengan perkembangan dan kemajuan sains dan teknologi masa kini,” katanya.

Turut diadakan, sesi penyerahan tuan rumah kepada Universiti Malaysia Pahang bagi menjayakan penganjuran KIK UA kali ke-17 pada tahun hadapan.

Hadir sama ke majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Azme Khamis selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM; wakil-wakil rasmi Naib Canselor dan Timbalan-timbalan Naib Canselor UA, Pendaftar / Ketua Pegawai Operasi UTHM, Abdul Halim Abdul Rahman; Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti) UTHM, Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd. Ali dan Pengarah Pejabat Pengurusan Kualiti UTHM, Dr. Shazarel Shamsudin.

 

UKM melalui kumpulan Benuacipta johan keseluruhan bagi kategori kumpulan Pengurusan.
Sesi penyerahan tuan rumah utk KIK ke-17 kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP).