BERITA HARIAN | 4 Oktober 2022:
Ramai orang menyifatkan bahasa Melayu mudah dipelajari kerana tidak mempunyai perubahan perkataan mengikut bilangan, jantina dan tiada tatabahasa waktu perbuatan. Bagaimanapun, rata-rata orang tidak perasan kesusahan kata ganti nama diri dalam bahasa Melayu.
Kata ganti nama diri kelihatan sederhana dan mudah difahami, tetapi aspek penggunaannya boleh jadi rumit hingga kerap berlaku kesilapan disebabkan penggunaan kata ganti nama diri salah atau kurang tepat.
Dalam bahasa Inggeris, terdapat enam kata ganti nama diri orang, iaitu I, you, he, she, we dan they. Mengambil kira bahasa Eropah lain, kita dapati bahasa Perancis mempunyai lapan kata ganti nama diri orang; Itali (7); Catalan (10); Sepanyol (11) dan Portugis (14).
Namun, biasa didapati dalam bahasa Latin ialah penambahan huruf ‘s’ sahaja membezakan kata ganti nama diri ketiga tunggal dan jamak.
Bahasa Melayu mempunyai lebih 15 kata ganti nama diri orang jika mengambil kira semua laras dalam bahasa ini. Selain itu, penggunaan bahasa Melayu mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak sama seperti penggunaan sebenar.
Guna bahasa pasar ganti nama diri
Realitinya, kebanyakan penutur bahasa Melayu di negara ini lebih banyak menggunakan kata ganti nama diri bahasa pasar seperti ‘kita orang’ dan ‘dia orang.’
Satu kajian mendapati antara lain, pelajar Malaysia bukan Melayu menggunakan kata ganti nama diri tidak tepat berdasarkan konteks penggunaannya. Kajian itu juga mengetengahkan penggunaan kata gelaran – menggantikan kata ganti nama diri – sebagai kata lebih tepat dalam salah satu situasi ujaran.
Natijahnya, ini tentu akan merumitkan penuntut asing ingin memulakan pembelajaran bahasa Melayu kerana apa mereka pelajari dalam kelas tidak selari dengan realiti dihadapi di luar bilik darjah.
Contohnya, seorang pelajar asing diajar ‘kamu’ ialah kata ganti nama diri orang kedua. Namun, apabila berada di sebuah restoran, pelajar berkenaan ditanya pelayan restoran dengan ujaran berikut: “Abang mahu makan apa?”
Di sini, kata ganti nama diri kamu diambil alih kata nama am abang menggalas tugas kata ganti nama diri. Contoh seperti ini memberikan kata gelaran yang selalunya diajar, di dalam kelas, bukan sebagai pengganti kata ganti nama diri orang.
Dalam situasi seperti ini, hanya gaya badan dan tanda saran mengikut konteks sahaja membolehkan pelajar berkenaan memahami ujaran terbabit. Ini menunjukkan wujudnya ketidakselarasan antara apa diajar dalam kelas dan apa diujarkan penutur jati bahasa Melayu.
Umum mengetahui antara tujuan mempelajari bahasa adalah supaya boleh berkomunikasi secara selesa dengan penutur bahasa berkenaan.
Fazeera Jaafar
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)