Penganjuran Konvensyen Pentadbir Universiti Awam kali ke-4 yang dilaksanakan pada 18 hingga 20 Ogos 2022 lalu merupakan satu inisiatif terbaik dalam memperkasakan staf-staf pentadbir di universiti awam seluruh Malaysia. Konvensyen tersebut menggalakkan penglibatan staf pentadbir dalam pelbagai bidang termasuklah inovasi, penyelidikan dan penulisan agar lebih berdaya saing. 

Langkah proaktif perlu diambil bagi memastikan kedudukan universiti awam Malaysia setaraf dengan universiti ternama luar negara. Langkah yang dilaksanakan oleh Majlis Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas Institusi Pengajian Tinggi Awam, Malaysia (MASTI) termasuklah mengiktiraf pencapaian para pentadbir melalui pemberian anugerah bagi menggalakkan lagi usaha memperkasa keterlihatan (visibility) universiti awam Malaysia.               

Kedudukan (ranking) universiti juga mencerminkan reputasi universiti. Kedudukan yang baik meningkatkan populariti universiti sebagai pilihan bakal pelajar. Times Higher Education (THE) dan Quacquarelli Symonds (QS) adalah antara organisasi utama yang menganalisis kedudukan universiti di peringkat dunia. THE mengukur prestasi universiti berdasarkan 5 indikator iaitu pengajaran, penyelidikan, sitasi, persepsi antarabangsa, dan penjanaan pendapatan daripada industri. Manakala bagi QS, 6 indikator digunakan iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah staf akademik/pelajar, sitasi setiap staf akademik, nisbah pelajar antarabangsa, dan nisbah staf akademik antarabangsa.           

Golongan pentadbir secara tidak langsung dapat membantu menyokong kemandirian universiti. Platform pengiktirafan oleh MASTI berupaya memberi kesedaran dan galakan kepada golongan pentadbir universiti untuk bersama-sama staf akademik menggembleng tenaga ke arah penghasilan inovasi dan penulisan dalam mengangkat kedudukan universiti di peringkat global.

Staf akademik dan staf pentadbir perlu berganding bahu untuk memacu universiti bagi memperolehi kedudukan yang baik dan dikenali di mata dunia. Para pentadbir boleh menyumbang idea dalam bidang inovasi dan penyelidikan yang berkaitan. Kerjasama kedua-dua pihak berupaya menambahbaik antara satu sama lain. Ini dapat membantu universiti untuk lebih cemerlang bukan sahaja dari segi perkhidmatan, malah dalam bidang lain kerana kejayaan organisasi adalah hasil jalinan kerjasama semua pihak.

 

 

Dr. Noryusliza Abdullah

Pensyarah Kanan

Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)