Keratan Akhbar: Rakyat berjiwa patriotik lebih cakna melestarikan alam sekitar

Berita Harian | 20 September :

Huraian maksud patriotisme seharusnya diperluaskan. Ia tidak hanya terhad kepada semangat kecintaan kepada negara dan sanggup berjuang mempertahankan kedaulatan semata-mata.

Sebaliknya, ia perlu diperluaskan antaranya perjuangan untuk memastikan kelestarian alam sekitar. Sejak 10 tahun kebelakangan ini, misalnya terdapat beberapa isu pencemaran alam sekitar yang memberikan impak besar kepada ekosistem negara.

Dua yang terpenting adalah isu pencemaran berbahaya di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 2019 dan bauksit di Kuantan, Pahang pada 2015.

Selain itu, aktiviti pembuangan sampah secara berleluasa ke dalam sungai, perlombongan haram, pembalakan tidak terkawal dan pembakaran secara terbuka juga memberikan kesan buruk kepada ekosistem alam sekitar negara.

Dari sudut kempen pendidikan, sebenarnya sudah banyak usaha dilakukan pelbagai pihak dalam memberi kesedaran menjaga alam sekitar kepada masyarakat. Antaranya kempen kitar semula, kongsi kenderaan, hari tanpa plastik atau tidak menggunakan penyedut minuman yang dibuat secara berterusan.

Namun sayangnya, pencemaran terus berlaku yang menunjukkan pendidikan atau kempen dilaksana tidak dapat menyedarkan masyarakat. Ia seakan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri sahaja. Kempen ini bagaikan tidak dapat membantu memulihkan atau memelihara alam sekitar.

Adakah hanya apabila terjadi bencana alam seperti banjir besar, kemarau berpanjangan, ribut taufan dan seumpamanya, baru masyarakat sedar mengenai perlunya menjaga alam sekitar?

Hakikatnya bencana seumpama ini kerap kali berlaku di negara ini, namun kebanyakan kita masih selesa memejamkan mata dan memekakkan telinga sahaja.

Umumnya terdapat tiga punca pencemaran alam sekitar. Paling utama adalah sikap tamak untuk mengaut untung diikuti kelemahan pihak pemerintah dalam menguatkuasakan undang-undang dengan tegas serta kealpaan masyarakat untuk sama-sama cakna dengan kepentingan menjaga alam sekitar.

Kita sewajarnya membantu pihak berkuasa dengan menjadi mata dan telinga bagi mencegah masalah ini.

Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sudah ada untuk tujuan penjagaan alam sekitar dan perbincangan mengenai peranan pemerintah dalam menguatkuasakan akta ini memerlukan diskusi berasingan tersendiri.

Jika semangat menjaga alam sekitar dipupuk bersungguh-sungguh seperti memupuk patriotisme dalam kalangan masyarakat di negara ini, kesannya dipercayai lebih berganda. Kesedaran bersungguh-sungguh setiap individu menangani isu ini akan menambahkan impak lebih bermakna terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar.

Gagal urus sisa pepejal dengan baik

Satu lagi isu yang perlu diberi perhatian adalah kegagalan pengurusan sisa pepejal dengan baik. Ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana masalah ini turut dihadapi kebanyakan negara membangun lain. Amalan kitar semula perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat sebagaimana kita memupuk semangat patriotisme.

Pada peringkat individu, sikap mengutamakan produk mesra alam dan meminimumkan penggunaan peralatan pakai buang serta menerapkan pengasingan sisa pepejal isi rumah dapat membantu memelihara dan memulihara alam sekitar.

Pemasangan tangki air misalnya untuk mengumpul air hujan sebagai sumber bekalan bagi kegunaan menyiram pokok dan aktiviti membasuh.

Aktiviti hijau lain seperti penanaman pokok teduhan di sekeliling bangunan bagi menyerap gas karbon dioksida dan menurunkan suhu bangunan patut digalakkan.

Kemudahan pengangkutan yang mesra alam seperti basikal dan laluan pejalan kaki perlu disedia bagi mengurangkan pergantungan kepada kenderaan bermotor yang mencemarkan udara.

Dalam hal ini universiti juga sewajarnya sama-sama menyemarakkan semangat kecintaan kepada alam sekitar. Diakui universiti di Malaysia sudah mula sedaya upaya untuk mencapai status kampus hijau.

Namun kesedaran ini perlu diperluas lagi, selain pihak berkuasa boleh merancang serta menguatkuasakan dasar baharu kepada pemaju perumahan supaya penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui ini dibangunkan secara terancang dan penjanaan kuasa di seluruh negara dijalankan secara mampan.

Pendek kata setiap anggota masyarakat perlu lebih cakna dengan pentingnya penjagaan alam sekitar sebagaimana menjaga kemakmuran negara.

 

Muhaymin Hakim bin Abdullah

Pensyarah

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

 

Categories
Keratan Akhbar 2022
Subscribe