Utusan Malaysia, 12 September 2022 :

PETALING JAYA: Kerajaan perlu campur tangan dalam menentukan masa depan projek Plaza Rakyat di ibu negara supaya projek terbengkalai sejak 25 tahun itu dapat dipulihkan semula.

Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Dr. Norwati Jamaluddin berkata, pelan asal pembangunan juga perlu diubah bagi memberi nafas baharu kepada projek yang sepatutnya menjadi ikon kebanggaan negara.

“Projek Plaza Rakyat berada di tempat yang berpotensi kerana terletak di tengah ibu negara. Sekiranya bangunan itu diberi ‘nafas baharu’ atau luar daripada pelan asal ia tetap mempunyai kelebihan kerana lokasi yang strategik,” katanya kepada Utusan Malaysia

Namun menurut beliau, penyelidikan mesti dijalankan terlebih dahulu memandangkan harga bahan binaan yang meningkat ketika ini dan perobohan juga bukanlah idea yang baik.

“Sama ada perlu projek baharu dengan merobohkan atau sambung sedia ada, pada saya sangat penting dibuat kajian terlebih dahulu kerana walaupun ia sudah terbengkalai projek ini bukan berada di fasa awal.

“Mungkin terdapat keperluan untuk berlaku perubahan daripada projek yang asal, maksud di sini bukan merobohkan tetapi diubah. Misalnya, daripada bangunan ‘pencakar langit’ kepada reka bentuk lain,” jelasnya.

Kata beliau, apa-apa tindakan yang diambil perlu mengambil kira kesan negatif kepada pihak berkepentingan dan juga awam kerana Plaza Rakyat adalah antara projek mega negara.

“Plaza Rakyat adalah projek mega, untuk merobohkannya ia bukan sesuatu yang perlu diambil mudah, kerugian sudah pasti dihadapi. Tambahan pula, ia sudah beberapa peratus dibuat, banyak kerja-kerja sebelum berlakunya pembinaan sudah berjalan dan siap.

“Seperti reka bentuk dan sebagainya, ujian-ujian yang perlu dilakukan pada tapak pembinaan. Ini semua sudah berlaku dan ia melibatkan nilai kos besar perlu ditanggung.

“Pada hemat saya timbang tara mengenai kos perobohan bangunan tersebut dan peruntukan yang sudah terlibat perlu dibuat. Maksud saya di sini, apa jua analisis serta pengiraan mesti dibuat terlebih dahulu,” katanya.

Plaza Rakyat yang terletak bersebelahan dengan Pudu Raya sebelum ini dirancang untuk menjadi hab pengangkutan dan bangunan ikon di bandar raya ini namun sejak 1997 pembinaannya terhenti dan terbengkalai sehingga kini menjadikannya bangunan usang 25 tahun.

Norwati berkata, kerajaan juga perlu campur tangan kerana projek itu melibatkan imej negara memandangkan ia terletak di tengah bandar.

Sementara itu, Pensyarah dan Penyelidik di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr. Khairul Anuar Abd Wahid berkata, tiada keperluan Plaza Rakyat dirobohkan walaupun ia sudah dibiarkan lebih dua dekad.

“Walaupun sudah 25 tahun bangunan itu terbiar, tidak semestinya bangunan itu tidak boleh dibangunkan semula kerana asasnya sudah mengikut piawaian jadi sepatutnya tiada masalah,” ujarnya.

Katanya, biarpun 50 ke 100 tahun bangunan itu terbiar, tidak ada masalah untuk menyambung pembinaannya semula melainkan ada kajian mengenai struktur tanah di kawasan tersebut didapati lemah.

Berita ini juga diterbitkan di :

1. utusan.com, 12 September 2022 : https://www.utusan.com.my/berita/2022/09/projek-plaza-rakyat-perlu-diberi-nafas-baharu/

2. melaysiakini.com, 12 September 2022 : https://www.melaysiakini.com/projek-plaza-rakyat-perlu-diberi-nafas-baharu-55352.html