Keratan Akhbar: Mimpi jadi realiti, Nur Diyanah luah rasa terharu berpeluang ikut program pertukaran pelajar

Nur Diyanah perlu mengharungi pelbagai cabaran yang menguji kekuatan fizikal dan mental untuk peroleh peluang keemasan ini.

Sinar Bestari. Sinar Harian.com, 9 September 2022 :

Nur Diyanah (kiri) bersama Sin Yee (kanan) memegang bendera Jalur Gemilang sebelum berlepas ke Jepun.

“Alhamdulillah, akhirnya impian saya tercapai.” Itulah ungkapan pelajar ijazah sarjana muda, Kejuruteraan Elektronik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Nur Diyanah Hazwani Abdul Roni, 23, apabila mendapat khabar gembira yang dia bakal mengikuti program pertukaran pelajar di Jepun.

Anak kelahiran Georgetown, Pulau Pinang, itu tidak menyangka dia terpilih ke Shibaura Institute of Technology (SIT) di Jepun selama dua semester dan dijangka berangkat pada hari ini (9 September 2022).

Program pertukaran pelajar itu merupakan usaha dua hala daripada UTHM dan SIT bagi menggalakkan penukaran ilmu dan budaya negara masing-masing.

Menurut Nur Diyanah, program tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh SIT dari segi penginapan, yuran pengajian dan lain-lain.

“Tidak semua pelajar mendapat peluang keemasan ini disebabkan banyak persiapan perlu dilakukan yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

“Pelajar yang ingin mengikuti program pertukaran pelajar ke luar negara juga perlu mempunyai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang baik dan melepasi beberapa peperiksaan antarabangsa.

“Hasil usaha saya selama beberapa tahun ini akhirnya berbaloi kerana mengikuti program pertukaran pelajar di Jepun merupakan impian saya sejak sekian lama,” katanya kepada Sinar Bestari, ketika dihubungi baru-baru ini.

Nur Diyanah (kanan) dan Sin Yee (kiri) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, turut mendapat peluang sama ialah pelajar ijazah sarjana muda Kejuruteraan Elektronik, Low Sin Yee, 22 yang akan menjalani program tersebut selama enam bulan.

Sepanjang setahun di Jepun, Nur Diyanah bakal mengikuti beberapa kursus kejuruteraan elektronik secara komprehensif dan menjalani latihan industri yang merangkumi penggunaan makmal canggih di SIT.

Dia juga berkata, segala ilmu dan pengalaman yang ditimbanya di Jepun akan dikongsikan bersama rakan-rakan yang lain di Malaysia supaya dapat menarik minat lebih ramai pelajar untuk menceburi bidang kejuruteraan elektronik.

“Insya-ALLAH, sekiranya saya diberikan kesihatan yang baik, saya akan membuat perkongsian pengalaman saya sepanjang di negara matahari terbit ini menerusi platform TikTok supaya orang ramai boleh mengetahui kehidupan seharian sebagai seorang pelajar di sana,” jelas Nur Diyanah.

Dalam masa yang sama, dia turut meluahkan penghargaan kepada pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) yang tidak pernah berputus asa dalam memberikan panduan serta tunjuk ajar kepadanya sepanjang tempoh pengajian.

“Peluang yang diberikan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin dengan memberi fokus terhadap sesi pembelajaran di samping mempelajari budaya baharu di negara luar.

“Saya berhasrat supaya dapat menamatkan program dengan jayanya dan seterusnya mendapat pekerjaan di Jepun supaya boleh menampung kos pengajian ijazah saya di SIT,” katanya mengakhiri perbualan.

Sumber : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/ipt/mimpi-jadi-realiti-nur-diyanah-luah-rasa-terharu-berpeluang-ikut-program-pertukaran-pelajar/

Berita ini juga telah diterbitkan di :

msn.com, 9 September 2022 : https://www.msn.com/en-my/news/berita/mimpi-jadi-realiti-nur-diyanah-luah-rasa-terharu-berpeluang-ikut-program-pertukaran-pelajar/ar-AA11Dc0k

Categories
Keratan Akhbar 2022
Subscribe