PAGOH – Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Pembinaan) dengan Kepujian (BNC), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya memperoleh penarafan empat bintang daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Untuk rekod, pada tahun 2021 program BNC ini telah memperoleh penarafan lima bintang dalam QS Stars Rating sebagai kekuatan program akademik khusus di UTHM.

Melalui data Sistem Kajian Pengesananan Graduan (SKPG) yang dijana oleh Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni, UTHM pula, sebanyak 95 peratus graduan BNC telah memperolehi pekerjaan terutamanya dalam bidang teknologi kejuruteraan pembinaan. 

Pencapaian ini amat membanggakan FTK kerana pelbagai pendedahan ilmu telah dilaksanakan bersama pihak industri antaranya Industry Construction Week @FTK selama seminggu.

Program ini merupakan siri webinar bersama industri yang menjemput pakar-pakar industri daripada pelbagai bidang Kejuruteraan Awam dari dalam dan luar negara antaranya Master Builder Association Malaysia (MBAM), Cinnotek International (Singapore) Pte. Ltd., Tensar International Corporation, Design Cost Consultant, Universitas Bengkulu dan Jabatan Kerja Raya.

Susulan daripada kejayaan itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah mengunjungi FTK menerusi program Lawatan Verifikasi Penarafan TVET Program Rintis Tunggal pada 19 Julai 2022 lalu.

Lawatan sehari itu bertujuan untuk memperkukuhkan tadbir urus TVET menerusi pengharmonian sistem penarafan institusi dan memperbaiki kebolehbandingan antara program latihan, yang dilaksanakan merentasi institusi TVET awam dan swasta kepada satu sistem penarafan tunggal.

Selain penerangan berkaitan UTHM dan FTK, delegasi JPK telah dibawa melawat ke tiga makmal pilihan iaitu Bengkel Teknologi Kejuruteraan Geoteknik, Makmal Teknologi Kejuruteraan Geomatik dan Makmal Aplikasi Komputer Kejuruteraan Awam bagi mengesahkan kewujudan segala keperluan dan fasiliti untuk program terbabit.

Hasilnya, setelah menyemak keputusan di laman web JPK (MySPIKE) pada 1 Ogos lalu, program BNC berjaya memperolehi penarafan empat bintang oleh JPK.

Dekan FTK, Prof. Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor melahirkan rasa syukur atas kejayaan penarafan program BNC ini.

“Segala pencapaian yang diperolehi ini diharap dapat menjadi pemangkin dan pendorong kepada para pensyarah dan pelajar untuk terus maju dan kekal relevan di pasaran industri,” katanya.

Beliau turut berharap penarafan program BNC ini akan menjadi satu pemangkin dan penanda aras bagi pengiktirafan semua program teknologi kejuruteraan di bawah FTK, dalam usaha memperolehi penarafan TVET daripada JPK pada masa akan datang.