Membeli-belah dalam talian adalah sangat mudah dan menawarkan pelbagai produk yang mungkin tidak dapat ditemui di pasar raya atau kedai berhampiran. Antara kelebihannya adalah kita sebagai pengguna lebih mudah untuk mengakses dan membanding harga, membaca ulasan produk dan melihat butiran produk dengan hanya satu ‘klik.’ Apabila membeli-belah dalam talian, pengguna hanya perlu menunggu produk dihantar terus ke rumah. Maka, jimat masa tanpa perlu beratur dikaunter dan jimat duit minyak!

Adakah benar-benar murah untuk membeli belah dalam talian?

Ya, membeli-belah dalam talian adalah lebih murah kerana pengguna mendapat lebih banyak jualan, tawaran dan kupon terbaik, sebagai contoh aplikasi Shopee dan Lazada. Kedua-dua aplikasi ini membolehkan pengguna mendapatkan pelbagai jenis pilihan penjimatan seperti tawaran pulangan tunai, penghantaran percuma, diskaun jualan atau tawaran kilat (flash sale).

Walau bagaimanapun, pengguna mungkin membelanjakan lebih banyak wang untuk barangan yang tidak diperlukan kerana banyak tawaran yang menggoda menyebabkan pengguna tertarik untuk membeli barangan tersebut. Terdapat juga risiko penipuan apabila pengguna membeli-belah dalam talian, yang mana barang yang sampai adalah lebih “indah khabar dari rupa.”

Adakah selamat untuk membeli belah dalam talian?

Ya, agak selamat untuk membeli dalam talian jika anda menggunakan aplikasi atau laman web yang biasa dan dipercayai. Ini telah dibuktikan apabila berjuta-juta pengguna telah membeli-belah dalam talian tanpa sebarang masalah. Tetapi jika anda masih mahu transaksi yang lebih selamat, ikuti tip ini:

  • Jangan terlalu berkongsi data peribadi anda, lebih-lebih lagi di ruang ulasan produk
  • Semak transaksi bayaran dengan kerap
  • Cipta kata laluan yang kukuh
  • Gunakan sambungan internet yang selamat semasa membeli-belah

Penulis berharap semoga kita semua menjadi pengguna yang bijaksana dan boleh berbelanja dengan selamat.

 

 

 

Dr. Nur Ziadah Harun

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)