UTHM kini tersenarai dalam QS World University Rankings

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya tersenarai buat kali pertama dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) 2023 pada kedudukan julat antara 1001-1200 daripada 2462 universiti seluruh dunia yang dinilai pada tahun ini.

Kejayaan ini membuktikan satu lagi manifestasi UTHM berada di landasan yang tepat dalam mencapai hala tuju Global Technopreneur University 2030 (GTU2030).

Terdahulu, UTHM telah menempa kejayaan menduduki tangga ke 247 menerusi laporan QS Asia University Ranking bagi tahun 2022 berbanding tangga julat 251-300 pada tahun 2021.

Selain itu pada awal Julai 2022, UTHM turut tersenarai dalam Times Higher Education Asia Rankings 2022 pada kedudukan 401-500.

Hasil analisis dan laporan QS WUR yang dikeluarkan pada 9 Jun lalu, UTHM diiktiraf mempunyai kekuatan rangkaian antarabangsa iaitu indikator utama yang menjadi penyumbang kejayaan penarafan tahun ini.

Selain itu, ruang tambah baik yang akan diberi tumpuan seperti reputasi akademik dan reputasi majikan turut diberi tumpuan dalam Pelan Strategik 2021-2025 UTHM.

Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata pengiktirafan sulung ini merupakan hasil kerjasama, sokongan dan iltizam yang kuat daripada seluruh warga kampus.

Tambah beliau, gerak kerja telah direncana sejak beberapa tahun lalu bagi merealisasikan impian ini dan kejayaan ini menjadi bukti bahawa usaha tersebut tidak sia-sia.

“Rentetan kejayaan penarafan ini, UTHM akan terus melangkah ke hadapan dan berusaha sedaya upaya memenuhi ikrar bagi mempelopori bidang TVET institusi pengajian tinggi selari dengan hasrat menjadikan UTHM sebagai Global Technopreneur University 2030,” katanya.

 

 

Categories
Anugerah, Pencapaian dan Pengiktirafan
Subscribe