BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dilantik secara rasmi sebagai wakil tunggal kepada Kotler Impact Inc. yang berpangkalan di Kanada bagi mempromosikan bidang teknousahawan dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT).
Lantikan itu dibuat melalui memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada 26 Julai 2022 lalu bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.
Kerjasama ini melibatkan komitmen UTHM untuk mempromosikan electronic World Marketing Summit (eWMS) yang akan diadakan secara dalam talian pada 6 dan 7 November 2022 akan datang kepada semua universiti dan IPT di Malaysia, Brunei dan Singapura.
Hampir sejuta tiket eWMS yang berharga USD100 setiap satu akan diberikan kepada setiap negara secara percuma sepanjang promosi dijalankan.
Di samping itu, pelajar dan individu yang berminat untuk mendapatkan sijil profesional lanjutan dalam bidang pemasaran daripada eWMS boleh berbuat demikian melalui peperiksaan khas dengan yuran serendah RM50 seorang.
Pendaftaran bagi eWMS dan sijil profesional anjuran Kotler Impact Inc. boleh dibuat melalui Pusat Pembangunan Pelajar (PBP), UTHM.
Untuk rekod, Kotler Impact Inc. merupakan sebuah komuniti pemasaran strategik yang berhasrat menggunakan pembangunan ekonomi yang mampan dalam membangunkan bidang teknousahawanan.
Matlamat utama yang disasarkan institusi ini adalah untuk mewujudkan dunia yang lebih baik melalui pemasaran, yang mana orang ramai akan lebih yakin dengan diri sendiri dan mampu memberi komitmen yang lebih baik kepada syarikat dan negara.
Kotler Impact Inc percaya bahawa generasi yang mampan dapat berevolusi dan lebih berdaya saing.
Perkara ini boleh dicapai melalui pengumpulan kepelbagaian pasaran, pelaksanaan sumber asas, pendidikan dan komitmen dalam kepimpinan perniagaan dan profesional.
Setiap usaha yang dibuat memerlukan hala tuju yang strategik, pelaburan, masa dan kerjasama daripada semua pihak yang berkepentingan.
Atas dasar inilah Kotler Impact Inc mengambil langkah berani dengan melibatkan para pelajar IPT di tiga buah negara yang disasarkan bagi menceburi bidang perniagaan atau teknousahawan.
Program ini dilihat sebagai peluang terbaik untuk pelajar menceburi bidang perniagaan sebagai salah satu cabang kerjaya dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan jumlah pengangguran dalam negara.
PBP bersama UTHM akan menyokong usaha seumpama ini dan akan memberi kerjasama yang baik dengan Kotler Impact Inc bagi menyokong pembangunan negara dan bidang teknousahawanan.