Terima kasih UTHM jaga kebajikan pelajar – MPP UTHM

Yang DiPertua MPP, Amsyar Hadie (kanan) bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (tengah) dan Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim di Majlis Pelancaran Food@Campus Keluarga Malaysia yang berlangsung pada 5 Julai 2022.

BATU PAHAT – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berterima kasih di atas keprihatinan pihak universiti dalam menjaga kebajikan para pelajarnya.

Yang DiPertua MPP, Amsyar Hadie berkata majoriti pelajar di UTHM terdiri daripada golongan B40 dan sememangnya memerlukan bantuan yang sewajarnya daripada pihak universiti.

“Suara daripada pelajar yang dikemukakan oleh MPP mendapat perhatian sepenuhnya daripada Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim dan pihak beliau memberi maklum balas yang sangat positif,” katanya.

MPP UTHM sentiasa prihatin terhadap suara dan rintihan pelajar dan sentiasa bersedia dalam memberi input serta cadangan yang boleh dilaksanakan bagi membantu para pelajar.

“Universiti telah membantu dengan memberikan pelbagai bantuan antaranya seperti program Sabil Al-Hikmah, Food Bank Siswa dan juga Food@Campus bagi menampung keperluan harian pelajar.

“Inisiatif pelan data dan juga peranti juga telah berjaya meringankan beban pelajar dalam keperluan mendapatkan akses kepada pendidikan yang berkualiti selari dengan kemajuan digital masa kini,” katanya.

MPP UTHM berharap agar inisiatif dan bantuan yang diberikan ini dapat memanfaatkan lebih ramai lagi pelajar yang terkesan serta dapat diteruskan pada masa akan datang.

Selain daripada itu, pihak MPP UTHM juga memohon supaya inisiatif lain juga turut dilaksanakan bagi memenuhi aspirasi universiti ke arah mencapai universiti global di samping menjaga keharmonian pelajar di kampus.

MPP UTHM menyeru kepada semua pelajar yang memerlukan bantuan untuk tampil ke Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan berhubung mengikut saluran yang disediakan oleh universiti.

“Pihak kami mewakili pelajar universiti ini juga ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang tidak pernah mengabaikan kebajikan mahasiswa,” katanya.

Untuk rekod, Pihak KPT bersama Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia baru-baru ini telah memberi peruntukan RM1 juta untuk disalurkan kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuklah universiti awam bagi memastikan kebajikan pelajar terbela.

 

*Yang DiPertua MPP mewakili UTHM menerima mock cheque bernilai RM600 ribu sumbangan KPT dan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia

Categories
Hal Ehwal Pelajar
Subscribe