Oleh Farah Deena Md Rapee

KOTA TINGGI, 23 Julai 2022 – Sekretariat Rukun Negara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (SRNUTHM) terpilih menerima Geran Pelaksanaan Uniti Siswa bernilai RM5 ribu daripada Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Penyerahan geran tersebut disampaikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique semasa berlangsungnya Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Kota Tinggi yang diadakan pada 23 dan 24 Julai 2022 lalu bertempat di Dataran Tanjung Sedili, Kota Tinggi Johor.

Geran tersebut akan dimanfaatkan oleh SRNUTHM bagi menganjurkan program-program kenegaraan yang dapat menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan pelajar UTHM terutama ketika menyambut Bulan Kebangsaan tahun 2022.

Penyerahan geran tersebut turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Dato’ Hajah Norison Ramli; Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hajah Hazlina Jalil dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sedili, Muszaide Makmor.

Turut hadir Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa bersama enam pelajar di bawah SRNUTHM iaitu Amirul Faiz Abdul Latif, Hariz Syafiq Ahmad Kamal, Mohd Syahir Anwar Hamzah, Mohamad Hashim Mohd Sabirin, Muhamad Saifullah Setafa dan Mohamad Taufiq Hidayat Jailani.

Selain UTHM, Universiti Teknologi Malaysia dan Politeknik Metro Johor Bahru turut terpilih menerima geran yang sama.

UTHM berharap dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti di bawah SRNUTHM yang ditubuhkan secara rasmi sejak Jun 2021 lalu akan dapat mengeratkan lagi hubungan antara mahasiswa, di samping berupaya mewujudkan suasana kampus yang harmoni sekali gus mengukuhkan lagi semangat perpaduan serta kecintaan kepada bangsa dan negara.

SRNUTHM merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak KPN kerana memilih UTHM untuk menerima geran tersebut.

Inisiatif seumpama ini mampu mempamerkan keprihatinan dan kesungguhan kementerian dalam usaha meningkatkan pengetahuan, penghayatan dan pengamalan mahasiswa terhadap prinsip-prinsip dalam Rukun Negara.