KLUANG – Seramai 34 pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit Umrah dan Haji Seksyen 1 telah menganjurkan program Kembara Suci Haramain 2022 yang diadakan pada 25 Jun 2022 lalu bertempat di Masjid Taman Sri Kluang.

Program anjuran bersama Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, UTHM, Pejabat Pendidikan Daerah Kluang dan Tabung Haji Batu Pahat ini berjaya melibatkan penyertaan 164 pelajar sekolah bersama 30 guru pengiring dari 26 sekolah menengah sekitar daerah Kluang.

Menurut pengajar kursus, Haji Abd Khalil Abd Rahim persiapan program yang bermula sehari awal dari tarikh program turut mendapat kerjasama ahli jawatankuasa serta kariah masjid yang dipengerusikan oleh Haji Alauddin Sarajul Haq.

“Dua penceramah telah dijemput untuk berkongsi ilmu berkaitan teori Haji iaitu Ustazah Hajjah Zanariah Buang dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kluang dan Ustaz Mohd Fadhil Mohd Hasbi Tan dari Sekolah Kebangsaan Batu 3, Kluang.

Para pelajar diberikan pendedahan tentang rukun dan wajib haji, niat, larangan ihram, serta kaedah perlaksanaan Haji dan Umrah,” jelas beliau.

Sementara itu, majlis perasmian pula telah disempurnakan oleh Tuan Ali @ Zainal Abidin Syed Mohamed selaku wakil rasmi PPD Kluang.

Beliau dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga dan berterima kasih kepada UTHM kerana menganjurkan program bermanfaat seperti ini.

“Usaha seumpama ini patut dihargai kerana perpindahan ilmu daripada pengajar dan pelajar bukan sahaja di ruang lingkup kelas, malah mereka berani memperluaskan lagi kepada masyarakat khususnya pelajar sekolah.

Sementara itu pengarah program, Muhammad Nabil Ikhwan Mohd Johari pula berkata penganjuran program ini mampu memupuk dan menyemai minat remaja untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah pada usia muda.

“Ibadah haji merupakan rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan oleh umat Islam yang berkemampuan, oleh itu ia perlu dihayati dengan sepenuh jiwa bermula dari alam persekolahan lagi,” katanya.

Turut diadakan, praktikal pemakaian ihram yang diselitkan dengan alunan talbiah bagi menjiwai suasana di padang Arafah.

Berbekalkan anak-anak batu, pelajar berpeluang melakukan ibadah melontar jamrah di Sughra, Wusta dan Kubra secara amali.

Seusai tahallul, pelajar melakukan ibadah tawaf iaitu mengelilingi replika Kaabah sebanyak tujuh pusingan dangan iringan zikir-zikir pilihan.

Aktiviti Haji dilengkapkan oleh para pelajar dengan saie iaitu berjalan ulang-alik dari Bukit Safa ke Bukit Marwah sebanyak tujuh kali.

Hasil maklum balas yang diterima, majoriti peserta mengharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Aktiviti praktikal seolah-olah berada di tanah suci ini membuatkan mereka lebih berkeinginan menjejakkan kaki ke Mekah satu hari nanti.