Oleh Aryanti Ahmad

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan Jawatankuasa Ketua Pustakawan Universiti Awam (JKKPUA) telah menjalin kolaborasi strategik menganjurkan Program Kecemerlangan Kepimpinan Ketua Pustakawan dan Timbalan Ketua Pustakawan Institusi Pengajian Tinggi (ExceLib).

UTHM diwakili oleh Ketua Pustakawan, Zaharah Abd Samad sebagai Ketua Program serta disokong oleh Jawatankuasa Induk yang terdiri daripada mantan dan Ketua Pustakawan beberapa universiti awam (UA) yang lain.

ExceLib merupakan inisiatif kementerian dalam memperkukuhkan kelestarian kepimpinan pengurusan tertinggi dan pegawai kanan perpustakaan UA khususnya Ketua Pustakawan dan Timbalan yang baharu dilantik menerusi modul kepimpinan yang berteraskan kompetensi semasa yang telah dikenal pasti.

Seramai 40 peserta dari 20 UA di Malaysia telah menyertai program ini.

Pihak AKEPT bertanggungjawab untuk menyelaraskan senarai calon peserta yang menepati kriteria yang dikemukakan oleh Bahagian Sumber Manusia universiti masing-masing melalui Ketua Pustakawan.      

Bagi memastikan pembangunan modul yang komprehensif, sesi Round Table Discussion telah dilaksanakan pada 8 dan 9 April 2021 lalu bagi mengenal pasti kompetensi kepimpinan generik dan fungsian.

Panel yang dilantik bagi sesi ini adalah terdiri daripada Ketua Pustakawan UA, ahli akademik, pakar subjek, pemegang taruh dan wakil industri.

Perasmian program ExceLib telah disempurnakan oleh Mantan Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly pada Ogos 2021 secara dalam talian.

Sebanyak 31 sesi telah dilaksanakan secara dalam talian bermula Ogos 2021 sehingga Januari 2022 yang merangkumi tujuh modul iaitu Personal Leadership Module, Organizational Leadership Module, Open Access Module, Knowledge Management Module, Open Science Module, Research Advocacy Module and Emerging Technologies for Libraries Module.

Modul kepimpinan ini akan dijadikan panduan kepada AKEPT dalam menyediakan pelan pembangunan yang strategik bagi peningkatan kompetensi pegawai kanan perpustakaan.

Seramai 39 panel penceramah yang terdiri daripada pakar bidang atau Subject Matter Expert (SME) yang berkaitan modul kepimpinan telah diundang untuk berkongsi pengalaman, idea, isu dan cabaran serta amalan terbaik organisasi.

Program ExceLib melabuhkan tirainya pada 15 hingga 17 Jun 2022 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Majlis Penutup diisi dengan penyampaian sijil penghargaan kepada Jawatankuasa Induk oleh Pengarah AKEPT, Dato’ Prof. Dr. Nasrudin Mohammed manakala sijil penyertaan kepada peserta pula disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Seri Ibrahim Ahmad.

Dato’ Seri Ibrahim dalam ucapannya berkata pemimpin perlu berani untuk melakukan perubahan mengikut keperluan semasa dalam mendepani cabaran global khususnya dalam bidang pendidikan.

Beliau turut menekankan bahawa peranan perpustakaan perlu seiring perkembangan teknologi seperti mewujudkan mobile library yang mana pengguna boleh mendapatkan perkhidmatan perpustakaan hanya melalui aplikasi di telefon.

“Perpustakaan juga perlu ada nilai tambah serta elemen yang unik dan berbeza untuk kekal relevan, antaranya dengan menjadikan perpustakaan sebagai pusat pengumpulan bahan bersejarah dan galeri yang boleh dijadikan sebagai rujukan untuk komuniti luar selain boleh menjana pendapatan,” katanya.

Program ExceLib yang telah dijalankan telah memberi peluang dan idea kepada JKKPUA untuk mengadakan beberapa bengkel bagi memantapkan kompetensi pustakawan berdasarkan modul yang telah dilaksanakan seperti Bengkel Big Data dan bengkel Research Data Management.

Program-program lanjutan ini diharapkan akan menambah nilai dan kompetensi pustakawan secara berterusan serta memastikan kelangsungan perpustakaan dan pustakawan dapat diperkukuhkan.

 

Jawatankuasa Induk Program ExceLib
Sesi ‘Round Table Discussion’ bagi mengenal pasti kompetensi bagi kepimpinan generik dan fungsian untuk pembangunan modul.