PASIR GUDANG, 25 Jun 2022 – Seramai 36 guru dari 22 sekolah menengah sekitar daerah Pasir Gudang telah menyertai program penentuan kualiti air sungai bertempat di laman rekreasi Sungai Buluh.

Penganjuran kali kedua program Universiti untuk Masyarakat (U4S) yang dibimbing oleh pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini bertujuan memindahkan ilmu kepakaran kepada generasi berikutnya di samping menentukan kualiti air sungai yang terpilih.

Program kali ini melibatkan penyertaan fasilitator terdiri daripada guru yang telah hadir pada program pertama yang telah dilaksanakan pada 26 Mac lalu.

Menurut Pensyarah FKAAB, Dr. Nor Amani Filzah Mohd Kamil program training of trainer seperti ini dapat meningkatkan keyakinan para guru dalam menjalankan sendiri program pemindahan ilmu kepada pelajar.

Oleh itu, ilmu penentuan kualiti air sungai melalui penunjuk bio dan kimia akan terus kekal hingga ke generasi yang berikutnya.

“Melalui program ini, bukan sahaja ilmu dapat dipindahkan ke generasi berikutnya, malah ia dapat menanam rasa sayang dan menjaga kebersihan sungai pada tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sebelum ini, program ini telah dijalankan pada 26 Mac 2022 lalu di hulu Sungai Selangkah yang merupakan anak Sungai Kim Kim.

Kedua-dua lokasi ini merupakan hulu sungai tetapi berbeza dari segi pembangunan di lokasi persampelan.

Hulu Sungai Selangkah terletak di dalam kawasan perindustrian manakala, hulu Sungai Buluh pula merupakan kawasan rekreasi yang pasti akan memberi keputusan kualiti air yang berbeza.

Pemilihan lokasi ini juga bagi menarik semula minat penduduk Pasir Gudang untuk mengunjungi laman rekreasi tersebut yang sebelum ini semakin suram.

“Hasil dapatan kajian yang dibentangkan guru-guru menyatakan bahawa kualiti hulu air sungai berada dalam kategori sederhana kotor.

“Keputusan ini agak mengejutkan kerana pada anggapan awal kualiti hulu sungai tersebut berada dalam kategori bersih,” katanya.

Tambah beliau, tiada sumber pencemaran yang boleh menyebabkan kualiti hulu air sungai berada di dalam kategori yang kurang baik.

Berbeza dengan lokasi program pertama di hulu Sungai Selangkah, yang mana lokasinya terletak di dalam kawasan industri dan keputusan yang diperolehi adalah sederhana bersih.

Kedua-dua program ini dilaksanakan dengan memilih lokasi hulu sungai untuk keselamatan peserta yang  mana sungainya agak cetek dan memudahkan proses persampelan makroinvetebrata.

Sungai Buloh ini juga dikategorikan sebagai sungai paling tercemar di negara ini dan kurang diberi perhatian berbanding populariti Sungai Kim Kim.

Oleh itu, kerja-kerja pemulihan Sungai Buluh perlu dilakukan dengan segera bermula dari hulu hingga ke hilir sungai.

Hasil pelaksanaan kedua-dua program yang telah dijalankan di bawah U4S, dua program lagi bakal menyusul dan telah mendapatkan dana dari Yayasan Pelajaran Johor dan dana UTHM.

“Dua program yang akan dibimbing oleh pensyarah UTHM ini dijalankan untuk para guru daerah Batu Pahat dan pendidik dari Matrikulasi Pontian serta guru-guru sekolah dari daerah Ulu Tiram,” tambah Dr. Amani.

 

Sampel haiwan makroinvetebrata yang berjaya diperolehi di hulu Sungai Buluh, Pasir Gudang.

Berita ini juga diterbitkan di :

1. sinarbestari.sinarharian.com, 19 September 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/ipt/pensyarah-uthm-bantu-guru-sekolah-kenal-pasti-kualiti-air-sungai/

2. msn.com, 19 September 2022 : https://www.msn.com/en-my/news/berita/pensyarah-uthm-bantu-guru-sekolah-kenal-pasti-kualiti-air-sungai/ar-AA11YOrL