Berita Harian, 5 Julai 2022
Konsep ‘universiti kalis masa hadapan’ menimbulkan persoalan bukan sahaja sejauh mana 20 universiti awam tanah air memiliki sifat itu, bahkan bagaimana dengan 434 institusi pengajian tinggi swasta, 36 politeknik dan 104 kolej komuniti?
Agenda Davos 2022 mencadangkan empat faktor pendidikan kalis masa hadapan, iaitu memanfaatkan teknologi, mengoptimumkan interaksi, mewujudkan kandungan bersifat penyesuaian peribadi dan memaksimumkan keterlibatan.
Universiti diharap bukan sekadar melahirkan graduan untuk pasaran kerja, malah pengubah permainan demi kelestarian dunia. Inilah kontrak sosial baharu dalam pendidikan.
Justeru, Pengarah Direktori Pendidikan dan Kemahiran, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Andreas Schleicher menggariskan empat agenda pendidikan masa hadapan, pengembangan, penyumberluaran, pengoperasian dan personalisasi.
Pendidikan masa hadapan perlu bersifat anjal dan inklusif tanpa menjejaskan falsafahnya, manakala pengoperasiannya mesti mengoptimumkan teknologi. Pembelajaran dan pengajaran (PdP) pula tidak dibatasi fizikal, sedangkan peperiksaan sebagai kiblat tidak lagi relevan, sebaliknya memerlukan pemerkasaan pendidikan mengikut keupayaan peribadi.
Jika begitu cirinya, bagaimana pula status quo kita? Bukankah Falsafah Pendidikan Negara utuh sejak sekian lama dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 juga wujud sebagai rujukan?
Malah mutakhir ini, kejayaan universiti menerusi pelbagai kayu ukur penarafan dunia semakin mengujakan, iaitu diukur secara keseluruhan, mengikut subjek, agenda kelestarian, kebolehpasaran graduan, keterlihatan dan kehijauan.
Dapatan Sistem Kajian Pengesanan Graduan 2021 juga menyaksikan lima universiti awam merekodkan 95 peratus ke atas kebolehpasaran graduannya. Justeru, perlukah universiti kalis masa hadapan? Hakikatnya, diakui masih terdapat ruang penambahbaikan kualiti berterusan diperlukan. Sedar atau tidak, apabila diuji dengan senario paling buruk, wujud kepincangan dalam pelan strategik sedia ada.
Agenda pembelajaran dalam talian tahap global, iaitu Lonjakan Ke-9 menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) telah lama wujud. Namun, apabila COVID-19 menggila sehingga memaksa universiti ditutup, hilang arah juga dibuatnya.
Benar, wujud insiatif pembelajaran teradun, minggu pembelajaran dalam talian penuh, sistem pengurusan pembelajaran, kursus dalam talian terbuka secara besar-besaran dan kelayakan mikro, tetapi mengapa kekalutan masih melanda?
Begitu juga dengan amalan pengukuran dan penilaian. Peperiksaan dianggap berjaga malam untuk Du adalah Profesor Aalborg-UNESCO PBL Centre, Univesiti Aalborg, Denmark, manakala Afandi adalah Penyelidik Pelawat Program Sabatikal Tajaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di universiti sama menghafaz, mencari soalan popular sebelumnya dan berjumpa pensyarah untuk tip.
Bagaimana pula dengan kedudukan peperiksaan secara ‘buka buku’? Apabila pengukuran dibuat berasaskan portfolio, pembentangan lisan dan maklum balas komuniti yang pasti akan ada meraguinya kesahannya.
Namun, jika peperiksaan masih jadi sandaran, mengapa model pendidikan tanpa peperiksaan di Charles Sturt University, Australia dan Iron Range Engineering, Minnesota State University, Amerika Syarikat (AS) menjadi tanda aras model pendidikan kejuruteraan masa hadapan?
COVID-19 membuktikan pengurusan perubahan boleh dilakukan dalam mengukur keberhasilan pelajar. Bukankah realiti dunia pekerjaan memerlukan lebih daripada daya hafazan?
Yang diperlukan ialah pekerja berfikiran kritis, memanfaatkan sumber, membuat keputusan, memimpin pasukan, menjadi ahli pasukan berkesan, pintar komunikasinya, kompeten kemahirannya, memahami impak persekitaran global, mematuhi piawaian dan menyelesaikan masalah kompleks.
Pembelajaran berpusatkan pelajar bukan metodologi baharu. Namun, pendekatan kuliah tradisional berpusatkan pensyarah masih menjadi kelaziman. Universiti mesti menyediakan kerangka pengalaman pembelajaran aktif dan bersifat peribadi untuk pelajar.
Sejak 1974, Aalborg University (AAU), Denmark kekal utuh dengan falsafah pembelajaran berorientasikan masalah dan projek berasaskan pembelajaran berpusatkan pelajar demi manfaat pelajar. Pendekatan kuliah tradisional berpusatkan pensyarah masih menjadi kelaziman. Universiti mesti menyediakan kerangka pengalaman pembelajaran aktif dan bersifat peribadi untuk pelajar.
Malah kini, jenama pembelajaran berorientasikan masalah AAU menjadi rujukan di seluruh dunia. Tidak hairanlah apabila US News & World Report’s – Best Global Universities 2022 menobatkan AAU sebagai universiti terbaik di Eropah untuk pendidikan kejuruteraan sepanjang lima tahun berturut-turut.
Untuk menjadi universiti kalis masa hadapan, keberanian akademik mesti wujud. Senat universiti sebagai badan tertinggi akademik dan majlis perwakilan pelajar mewakili suara mahasiswa perlu lebih memimpin perubahan.
Model universiti kalis masa hadapan mesti diperhalusi dan didebatkan, demi ketekalan akademik lestari.
Universiti kalis masa hadapan tidak boleh melakukan sesuatu hanya untuk memenuhi indeks pengukur prestasi (KPI). Janganlah pembelajaran berpusatkan pelajar atau amalan pendidikan berimpak tinggi dilaksanakan hanya kerana KPI, merit kenaikan pangkat, kriteria pengiktirafan oleh badan profesional atau lebih malang sebagai ropol indah bahan pameran lawatan pihak atasan.
Jiwai perubahan, fahami falsafahnya, demi impak positif pengalaman pelajar.
COVID-19 membawa hikmah, menilai tahap kesiapsiagaan pendidikan tinggi dalam mendepani cabaran. Apakah kini sudah berlaku set semula besar-besaran di semua peringkat? Apakah ditemui titik kesedaran, betapa budaya pak turut itu tidaklah menguntungkan? Apakah muncul kesedaran, begitu rapuhnya pelan mitigasi, perancangan senario dan penilaian risiko yang ada?
Jalan paling mudah, masing-masing hanya dengan kaedah cuba jaya atau tidak lebih hanya menunggu arahan pihak atasan.
Jika sekian lama pendidikan di Charles Sturt University berjalan dengan bahan pengajiannya diakses secara atas permintaan, analisis data raya pula dimanfaatkan dalam memantau prestasi pelajar secara holistik untuk diberikan bantuan peribadi, kita masih di mana?
PdP pula dengan pembelajaran bersemuka minimum dan tanpa peperiksaan untuk mengukur keberhasilan pembelajaran.
Kadet jurutera, iaitu pelajarnya menjalani PdP dengan menonton kuliah ala Netflix, walaupun sedang mengikutinya secara penempatan industri selama empat tahun, bagaimana dengan kita?
Akhirnya, menjadi tanggungjawab siapakah untuk meneliti status quo dan mempersiapkan universiti bagi cabaran mendatang semakin meruap, tidak pasti, rumit dan samar (VUCA)?
Rencana ini juga diterbitkan dalam :
1. bharian.com, 5 Julai 2022 : https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/07/973203/ubah-budaya-akademik-jadikan-universiti-kalis-masa-hadapan
Oleh :
PROFESOR MADYA DR. AFANDI AHMAD
Penyelidik Pelawat Program Sabatikal Tajaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)