BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus melakar sejarah apabila buat julung kalinya tersenarai dalam Times Higher Education Asia Rankings 2022 pada kedudukan 401-500.

Kedudukan ini juga sekali gus menempatkan UTHM di kedudukan ke-16 bagi Institut Pengajian Tinggi di Malaysia dan berada di tangga kedua dalam kalangan Malaysia University Technical Network (MTUN).

Kejayaan ini dinilai berdasarkan lima skor utama merangkumi citations, industry income, international outlook, research dan teaching.

Sebelum ini UTHM belum pernah tersenarai dalam kedudukan THE Asia Rankings.

Prestasi sulung ini sudah pastinya hasil sumbangan seluruh warga UTHM yang dipacu oleh hala tuju yang baharu iaitu UTHM sebagai sebuah Global Technopreneur University (GTU 2030).

Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata, Pelan Strategik 2021-2025 UTHM telah menggariskan matlamat yang jelas ke arah pendigitalan program TVET selaras dengan visi UTHM iaitu “Menjadi Universiti Teknikal Global Dalam Teknologi Lestari dan Pengangkutan.”

“Semoga rekod kejayaan ini mampu menyuntik motivasi kepada UTHM untuk terus komited membangunkan ekosistem teknousahawan menerusi penekanan terhadap bidang TVET sebagai pemangkin inovasi dan sinergi antara universiti dan masyarakat,” katanya.

“Penarafan ini juga merupakan satu pengiktirafan global selain sebagai satu tanda positif bahawa UTHM berada di landasan tepat ke arah mencapai GTU menjelang 2030 nanti,” katanya.

Beliau turut menyeru warga kampus agar terus memberi komitmen dan sokongan penuh bagi memastikan universiti ini dapat mencipta lebih banyak kecemerlangan pada masa hadapan.