UTHM bawa produk sertai pameran MTUN TVET Negara 2022

SHAH ALAM – Bersempena sambutan Minggu TVET Negara, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menghantar beberapa produk bagi menyertai pameran MTUN TVET Negara 2022 anjuran Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 18 hingga 24 Jun 2022.

Antaranya bas elektrik hasil kerjasama UTHM dengan Perisind Samudra yang diketuai oleh Ts. Dr. Mohd Fahmy Abdullah dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan serta ‘Cafe Caffeine and Calories’ yang diuruskan oleh pelajar Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional melalui program pengajian mereka yang berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Produk lain yang turut antaranya Flybasin, BabyLena, Mobile Water Filtration System, Makerspace dan PINEXRI IoT Smart Farming Solution.

Reruai pameran UTHM turut dilawati Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Azme Khamis.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam program TVET menjelang 2025, seperti ditetapkan dalam RMK-12.

“Kita perlu memastikan bilangan pelajar dalam pengkhususan vokasional dan teknikal adalah tinggi seperti di negara-negara maju, sebagai contoh di Jerman, TVET dianggap salah satu sistem pendidikan utama sehingga 70 peratus pelajarnya memasuki aliran tersebut,” katanya.

Pada majlis tersebut, Datuk Ismail turut menyatakan pemilihan tarikh 2 Jun adalah bersempena penubuhan Politeknik Ungku Omar yang merupakan institusi penyedia TVET terawal sejak 1969.

Beliau turut merasmikan pelancaran logo TVET sebagai simbolik penjenamaan TVET negara di program yang dihadiri oleh lebih 1000 tetamu itu.

 

Categories
Penyelidikan dan InovasiProduk
Subscribe