PAGOH –  Jabatan Fizik dan Kimia, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dengan kerjasama Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan program “Robotics- Fun with Robotics” pada 8 Jun 2022 lalu.

Program ini disertai 40 pelajar daripada  Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Pagoh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar, Sekolah Menengah Kebangsaan Setia Alam, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sri Saujana, MRSM Tun Dr. Ismail dan Sekolah Kebangsaan Parit Raja.

Program ini diketuai oleh Dr. Nurul Nadia Adnan dan dibantu oleh Dr. Syed Zuhaib Haider Rizvi serta 38 pelajar tahun satu program Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan) dengan Kepujian daripada kursus Makmal Elektronik Semester II Sesi 2021/2022.

Menurut Dr. Nadia, program ini dianjurkan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah kepada asas robotik dan pengaturcaraan menggunakan platform Arduino.

Peserta berpeluang mempelajari tiga modul iaitu Obstacle Avoiding Robot, Bluetooth Mobile Robot dan juga  Line Following Robot.

Program ini turut menjemput Fatimah Mohd Rafieie dari Scientific and Technical Product Sdn. Bhd. dan  Siti Fairuz Mad Radzi yang juga merupakan Alumni program BWC untuk berkongsi ilmu pengetahuan  tentang kepentingan sains dan teknologi robotik pada masa kini.

Pihak penganjur turut menerima pelbagai maklum balas positif  daripada para pelajar yang terlibat.

Menurut Muhammad Adi Qayyim S.A. Samdi dari SMKA Pagoh. cara penyampaian fasilitator sangat interaktif dan mudah difahami ketika menerangkan cara  pemasangan robotic kit.

Sementara itu, Nurul Najihah Shaffei dari sekolah yang sama juga menzahirkan rasa teruja kerana dapat menimba  pengalaman baharu apabila menyertai program robotik seumpama ini .

Hadir sama ke program tersebut, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Ts. Dr. Suhadir  Shamsuddin dan Ketua Jabatan Fizik dan Kimia, FAST, Dr. Fahmiruddin Esa.

FAST berharap program ini dapat diteruskan pada siri akan datang untuk merapatkan lagi hubungan UTHM dengan komuniti setempat dan memberi lebih ramai peluang kepada pelajar sekolah untuk mempelajari tentang dunia robotik dan pengaturcaraan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari laman web :

https://sites.google.com/view/robocamp/home

 

*Semua peserta terdiri daripada pelajar dari beberapa sekolah bergambar kenangan