Oleh Norhaslini Abd Alim

BATU PAHAT – Demi meningkatkan visibiliti dan menyokong Agenda 2030, Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meraih hadiah saguhati  ketika menyertai pertandingan Sustainable Development Goals (SDG) Perpustakaan Akademik 2022 yang telah berlangsung pada 1 Mac sehingga 15 April 2022 lalu.

Pertandingan anjuran Jawatankuasa Tetap Perpustakaan Akademik Sesi 2020 / 2022, Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) dengan kerjasama Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris itu bertujuan untuk menggalakkan warga perpustakaan akademik khususnya pustakawan menerapkan nilai kelestarian dalam kepustakawanan.

PTTA menyertai pertandingan ini melalui penyertaan Program Kecemerlangan Kepimpinan Ketua Pustakawan dan Timbalan Ketua Pustakawan Institusi Pengajian Tinggi (ExceLib) dan Projek Penyelidikan dan Inovasi Budaya dan Warisan Johor (Research and Innovation in Culture and Heritage of Johor – RICHER).

Program ExceLib merupakan kerjasama strategik di antara Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Jawatankuasa Ketua Pustakawan Universiti Awam (JKKPUA) dan PTTA.

Pelaksanaan program ini adalah berdasarkan kepada SDG 4, SDG 16 dan SDG 17 bagi meningkatkan kompetensi pengurusan tertinggi perpustakaan dalam menyediakan perkhidmatan dan fasiliti yang memenuhi keperluan warga kampus.

Manakala Projek RICHER pula menyokong kepada SDG 4, SDG 11 dan SDG 17 bagi memperkukuhkan peranan PTTA sebagai Guardian of Knowledge kepada universiti.

Ia merupakan idea daripada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM, Profesor Dr. Mohd Shahir Shamsir Omar untuk penjenamaan semula aktiviti penyelidikan dan inovasi mengenai kebudayaan dan warisan Johor.

Projek RICHER telah terpilih sebagai finalis atau 10 peserta terbaik untuk ke peringkat akhir pertandingan tersebut yang berlangsung secara dalam talian pada 1 Jun 2022.

Pada 7 Jun 2022, PTTA telah diumumkan sebagai pemenang saguhati bagi kedua-dua projek yang disertai dan berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM400.

Penyertaan yang terbuka kepada semua perpustakaan akademik seluruh negara ini adalah berdasarkan projek, aktiviti, program atau inisiatif yang dilaksanakan oleh perpustakaan masing-masing sepanjang tahun 2020 hingga Februari 2022 yang memenuhi minimum tiga matlamat SDG.  

Untuk rekod, SDG atau Matlamat Pembangunan Mampan merupakan 17 matlamat global yang telah dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2015 untuk dicapai oleh semua negara menjelang tahun 2030.

SDG meliputi isu pembangunan sosial dan ekonomi termasuk kemiskinan, kelaparan, kesihatan, pendidikan, pemanasan global, kesetaraan gender, air, sanitasi, tenaga, urbanisasi, alam sekitar dan keadilan sosial demi memastikan pembangunan dan kemaslahatan manusia dan bumi.

Para peserta perlu menyediakan pelaporan mengenai projek masing-masing yang akan diadili oleh juri profesional yang diketuai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr. Nor Hisham Ismail. 

Sebanyak 26 penyertaan daripada 17 perpustakaan akademik telah diterima oleh pihak penganjur.

Sementara itu, majlis penyampaian hadiah pertandingan pula telah disempurnakan secara maya oleh Presiden PPM, Dr. Ghazali Mohamed Fadzil bertempat di PTTA sempena lawatan muhibah beliau ke perpustakaan itu. 

Para pemenang berpeluang memenangi wang tunai berjumlah RM1,000.00 bagi tempat pertama, RM800.00, tempat kedua, RM500.00, tempat ketiga dan RM200.00 bagi 10 hadiah saguhati.

Selain itu, sijil dan plak penyertaan juga diberikan kepada setiap penyertaan.

 

*Staf PTTA berdebar menanti keputusan pertandingan

*PTTA berjaya membawa pulang dua hadiah saguhati berupa wang tunai berjumlah RM400.