Oleh Hanafi Omar

JASIN – Bagi membudayakan amalan hidup sihat, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Kursus Kokurikulum Pengakap Kelanasiswa II UQR11301 Seksyen 1 Kampus Pagoh menganjurkan program kolaborasi bersama Sekolah Kebangsaan Jenis Cina Jasin Lalang pada 10 dan 11 Jun 2022.

Program yang melibatkan penyertaan 87 pelajar sekolah,15 guru bersama 28 pelajar UTHM bertujuan mendidik golongan muda mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian sekali gus menjauhi budaya negatif yang boleh menjejaskan masa hadapan mereka.

Program ini disempurnakan oleh Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Hal Ehwal Manusia dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Adun Machap Jaya, YB Ngwe Hee Sem sekali gus menjayakan sesi penyampaian hadiah.

Beliau dalam ucapannya menyeru agar pelajar menyertai apa sahaja jenis sukan dan aktiviti di sekolah mahupun universiti sebagai pencengahan terhadap gejala-gejala yang tidak sihat terutama seperti merokok, mengambil minuman beralkohol dan dadah. 

Program ini turut menjemput Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Jasin, Doktor Nur Syahirah Zahra Abdul Rahman bagi menyampaikan ceramah berkaitan pentingnya menjaga kesihatan diri termasuk penjagaan gigi.

Beliau turut berkongsi tentang bahayanya amalan merokok terhadap diri sendiri, keluarga, bayi dan komuniti sekeliling kerana boleh mendatangkan mudarat seperti membantutkan proses tumbesaran, kanser dan masalah kesihatan dalaman untuk jangka masa panjang.

Selain ceramah kesihatan, pelajar UTHM juga menjalankan beberapa aktiviti bersama pelajar dan guru antaranya pertandingan mewarna poster “Say No More to Smoking,” senaman kecergasan, peranan pemakanan sihat, kepentingan menjaga gigi, keburukan merokok dan teknik mencuci tangan dengan betul.

Pelaksanaan program ini mendapat respon yang positif daripada pihak sekolah terbabit yang mahukan kesedaran tentang penerapan ilmu dalam kalangan pelajar sekolah agar mereka lebih bersemangat dalam mencapai cita-cita.

Program komuniti sebegini perlu diteruskan lagi bagi memperluaskan lagi peranan mahasiswa dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang membawa manfaat kepada pelajar sekolah dan juga penduduk setempat.