Keratan akhbar Utusan Malaysia: Henti budaya suka beraksi secara solo

Utusan Malaysia, 28 Jun 2022 :

SAUDARA PENGARANG,

PENDIDIKAN latihan teknikal dan vokasional (TVET) pada masa sekarang masih berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk dilihat sebagai pendidikan kelas kedua untuk mereka yang rendah kognitif serta dibayangi potensi masa depan yang kelam.

Tanggapan itu bertentangan dengan kesimpulan yang dicapai dalam satu sidang Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang menyebut bahawa TVET berkualiti merupakan kunci ke arah memacu pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Ini kerana TVET berperanan melatih modal insan teknikal dan berkemahiran bagi mendepani cabaran kelestarian dunia.

Bagi memperkukuh kepentingan TVET, Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) telah ditubuhkan pada awal tahun ini dengan dianggotai 12 persatuan sektor industri bagi membentuk kerjasama dengan 11 kementerian yang diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Apa yang jelas, sudah tiba masanya, budaya suka beraksi secara solo dipadamkan dan tindakan menyambung semua titik berkaitan TVET digerakkan dengan penuh muafakat.

Sinergi ini amat penting dalam konteks kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi TVET bersama pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri.

Simbiosis ekosistem TVET ini diyakini berupaya mengecilkan jurang permintaan dan penawaran pekerjaan, serta pastinya akan berupaya memperkukuh jenama TVET sebagai pilihan generasi muda serta ibu bapa.

Akhirnya, benarlah perjalanan yang panjang bermula dengan langkah yang pertama. Jika ingin bergerak pantas, bergeraklah sendirian, tetapi jika ingin membawa kemakmuran, bergeraklah secara berpasukan. Andai kita melakukan perkara sama berulang-ulang tanpa mencari kekurangan dan melakukan penambahbaikan, usahlah diharapkan keajaiban.

 

PROFESOR DR. RUZAIRI ABDUL RAHIM

Naib Canselor UTHM

&

PROFESOR MADYA DR. AFANDI AHMAD

Penyelidik Pelawat Program Sabatikal Tajaan 

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Artikel ini juga diterbitkan dalam :

1.utusan.com, 28 Jun 2022 : https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2022/06/henti-budaya-suka-beraksi-secara-solo/

2.malaysiakini.com, 28 Jun 2022 : https://www.melaysiakini.com/henti-budaya-suka-beraksi-secara-solo-47627.html

Categories
Keratan Akhbar 2022
Subscribe