Oleh Fahmiruddin Esa

47 pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) telah mengikuti tiga modul kursus pendek ‘MIMOS Academic Programme 2022’ anjuran MIMOS Berhad.

Program yang dijalankan secara hibrid ini berlangsung pada 25, 27 Mei 2022 secara dalam talian dan 1 Jun 2022 secara bersemuka.

MIMOS menawarkan tiga kursus pendek iaitu Problem Solving – Basic Quality Tools used in Manufacturing, Six Sigma dan Reliability Testing.

Ketiga-tiga kursus ini bertepatan dengan kandungan kursus yang terdapat dalam program Fizik Gunaan iaitu Introduction to Statistical Quality Control (BWC21403) yang mana aplikasinya sangat meluas diguna pakai oleh industri.

Modul Six Sigma dilatih oleh pegawai MIMOS yang berpengalaman dan mempunyai Master Black Belt (MBB).

Antara kandungannya termasuklah Metric, Deployment System, Approach and Methodology Six Sigma DMAIC (Define, Measure, Analyze, Improve, Control) Project.

Modul terakhir dilaksanakan secara lawatan bersemuka ke MIMOS selama satu hari, yang mana ia dibahagikan kepada dua slot iaitu kelas teori dan juga lawatan pengendalian pengujian di makmal bagi melihat sendiri bagaimana sesuatu pengujian itu dilakukan.

Modul Reliability Testing yang berfokus kepada Environmental, Mechanical dan Electrical Stress termasuk dengan pendekatan yang digunakan seperti Failure Mechanism Driven dan Generic Product Driven turut ditunjukkan secara demonstrasi.

Dengan ini pelajar dapat mempelajari kepentingan sesuatu produk menjalani pengujian, yang mana hanya produk yang berkualiti sahaja yang boleh dijual di pasaran.

Turut sertai lawatan, pensyarah Jabatan Fizik dan Kimia, FAST, Dr. Syed Zuhaib Haider Rizvi dari Jabatan Fizik dan Kimia, FAST selaku pegawai pengiring.

Untuk rekod, MIMOS merupakan pusat penyelidikan dan pembangunan, sebuah agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

MIMOS sentiasa memberikan peluang kepada penuntut dan staf universiti untuk menyertai kursus-kursus pendek agar pemindahan ilmu terus berlaku dari industri dan juga dari hasil-hasil penyelidikan terkini di MIMOS.

Terdahulu, pada Semester I sesi 2021/2022, pelajar yang sama telah mengikuti MIMOS Skill Development Online Module 2021 iaitu Troubleshooting of Electronics using Failure Analysis, Overview of Wafer Fabrication Process, Overview of Integrated Design (IC).

Ketiga-tiga modul ini selari dengan beberapa kandungan kursus dalam program Fizik Gunaan seperti Semiconductor Fabrication (BWC32602), Semiconductor Physics (BWC30203) dan juga Electronics Troubleshooting and Maintenance (BWC21802) yang juga relevan dengan keperluan  industri.

FAST berharap MIMOS akan sentiasa memberi sokongan kepada insitusi pengajian tinggi agar pelajar mendapat pendedahan kepada ilmu dan penyelidikan baharu bersama industri terutama dalam bidang sains dan teknologi.