KUALA LUMPUR, 17 Mei 2022 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya memperoleh penarafan Energy Management Gold Standard (EMGS) 1-Star anjuran Malaysian Green Technology and Climate Change (MGTC) dan ASEAN Energy Management Scheme (AEMAS).

Penarafan EMGS 1-Star ini adalah berdasarkan penilaian tujuh elemen utama iaitu pengurusan, organisasi, proses, informasi, kewangan, tanggungjawab korporat dan pencapaian serta berpandukan kriteria yang telah ditetapkan.

Pengarah Pejabat Kampus Lestari (SCO), Profesor Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir berkata pihaknya bertanggungjawab dalam menguruskan penyertaan EMGS 1-Star bagi UTHM yang diketuai oleh Mantan Pengarah SCO, Sr. Dr. Noralfishah Sulaiman dan dibantu oleh Pengurus Tenaga ketika itu iaitu Ts. Shukur Saleh.

Menurut beliau, Pejabat Pembangunan dan Penyenggaraan (PPP) telah melaksanakan inisiatif penjimatan tenaga bermula pada tahun 2015 lagi manakala proses pengumpulan data dan penyediaan laporan telah diselaraskan oleh SCO dan PPP pada awal tahun 2019.

“Dokumen lengkap telah diserahkan kepada pihak MGTC pada pertengahan Julai 2019, manakala sesi audit EMGS 1 Star pula telah diadakan pada 25 dan 26 September 2019,” katanya.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Anak Biju hadir menyempurnakan majlis berkenaan sekali gus menyampaikan anugerah kepada pihak yang berjaya.

“Terima kasih diucapkan kepada PPP, Jawatankuasa SECT, pusat tanggungjawab (PTj) serta semua pihak yang terlibat dalam proses pengumpulan data dan penyediaan laporan bagi penarafan EMGS 1-Star tersebut.

“Usaha keras daripada semua pihak membuktikan kejayaan ini bukan sahaja memberi penarafan kepada UTHM semata-mata, malah dapat membantu universiti ini mengurangkan kos perbelanjaan utiliti melalui inisiatif penjimatan yang dilaksanakan, selain menjadi satu budaya kepada warga kampus,” katanya.