Pelajar Aeronautik sertai Cadet Pilot Preparation Programme, persediaan awal hadir temuduga

Oleh Sim Hui Yi, Vannesa Angel Llya Anak Buln, Ahmad Hamdan Ariffin

BATU PAHAT – Pelajar Jabatan Kejuruteraan Aeronautik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya melaksanakan program berbentuk temuduga iaitu Cadet Pilot Preparation Programme pada 21 Mei 2022 lalu.

Program ini bertujuan memberi pendedahan dan juga persiapan awal kepada para peserta berkaitan realiti sebenar proses temuduga.

Program ini juga dilaksanakan bagi menilai keyakinan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran berkerja dalam kumpulan dan tahap kognitif pelajar Aeronautik tahun satu dan dua di UTHM.

Dua wakil penemuduga dari Asia Aeronautical Training Academy (AATA) iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Mohammad Fahmi Abdul Ghafir dan Kapten Timothy Wong Shang Ren telah dijemput bagi menjayakan program tersebut.

Selain itu, program ini juga bagi memberi pendedahan dan persiapan awal kepada mereka tentang suasana sebenar temuduga.

Antara pengisian yang dilaksanakan dalam program ini ialah temuduga secara individu yang mana para peserta dibahagikan kepada tujuh kumpulan, tiga ahli setiap satunya dan ditemuduga secara serentak dalam kumpulan masing-masing.

Ujian turut merangkumi subjek Bahasa Inggeris, Matematik, Fizik dan darjah kecerdasan (IQ) selepas berlangsung temuduga individu. Setelah itu mereka dikehendaki membina replika jambatan dalam kumpulan dan akhirnya ke sesi temuduga berkumpulan.

Penganjuran program ini mampu memberi peluang kepada para peserta untuk mendapat ilmu yang baharu dalam bidang penerbangan.

Pelaksanaan program ini amatlah perlu sebagai tambah nilai kepada semua pelajar bagi meningkatkan kualiti kemahiran insaniah dalam menghadapi alam pekerjaan termasuklah dalam industri penerbangan. 

 

 

 

Categories
Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan
Subscribe