Mingguan Malaysia, 29 Mei 2022

PETALING JAYA: Sistem pengangkutan awam negara gagal memenuhi peningkatan jumlah kenderaan apabila sebanyak 248,259 pendaftaran baharu kenderaan dicatatkan bagi suku kedua 2021, iaitu peningkatan sebanyak 51.81 peratus berbanding suku kedua 2020.

Berdasarkan statistik terkini Kementerian Pengangkutan, angka itu menjadikan sebanyak 98,828,170 juta jumlah kenderaan termasuk kereta, lori, motosikal dan bas yang digunakan di negara ketika ini.

Pengguna kereta mencatatkan jumlah tertinggi dengan 46,459,743 juta diikuti motosikal dengan 45,590,401 juta, kenderaan barangan (4,017,204), bas (190,519), teksi (269,140), kereta sewa (83,886) dan lainlain (2,217,277).

Jumlah keseluruhan itu jauh beza dengan 18,315,984 juta penumpang yang menggunakan perkhidmatan rel dan 9,011,197 juta pengguna bas di Lembah Klang.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Metro System Academy di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Mohd. Fahmy Abdullah berkata, angka itu menunjukkan terdapat keperluan mendesak untuk menilai semula jumlah penggunaan kenderaan persendirian dan melipatgandakan usaha memperkasa pengangkutan awam.

Malah, katanya, langkah pertama yang perlu dilakukan kerajaan adalah memperhalusi semula kebolehupayaan sistem pengangkutan awam di negara ini.

“Apabila naik kenderaan persendirian lebih cepat daripada pengangkutan awam, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah meneliti semula sistem pengangkutan awam kerana ia jelas tidak memenuhi keperluan pengguna.

“Ia bukan sekadar menambah baik pengangkutan awam seperti bas semata-mata, tetapi strategi dan model sedia ada perlu dinilai sebelum melak- . sana atau mengusulkan model baharu,” katanya semalam.

Justeru, beliau mencadangkan beberapa idea yang membolehkan sistem pengangkutan awam dijalankan dengan lebih efisien.

“Ada maklum balas orang ramai mengenai masalah kelewatan, keselesaan dan ketersambungan, jadi kerajaan perlu memperkenal model terbaharu seperti mengehadkan kenderaan persendirian di kawasan bandar, perbanyak laluan khas untuk pengangkutan awam serta pemberian subsidi kepada pengguna,” katanya.

Beliau juga bercadang mengusulkan on demand public transport, yang membolehkan van atau bas disediakan untuk beberapa pengguna yang mahu ke destinasi sama menerusi tempahan aplikasi, sama seperti e-hailing.

“Sistem ini berjaya di banyak negara seperti Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Itali, jadi cadangan ini akan diusulkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.

Namun, katanya, Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada penambahan lebuh raya atau jalan raya pada masa akan datang, sebaliknya perlu segera memastikan rakyat dapat membiasakan diri dengan pengangkutan awam.

“Sekadar membina lebih banyak lebuh raya dan melebar luas jalan raya tidak selesaikan masalah kesesakan lalu lintas. Lebih besar jalan, lebih bertambah kenderaan.

“Bukan sahaja sasaran 40 peratus kadar pengguna pengangkutan awam tidak tercapai, malah akan menyebabkan lebih banyak kesesakan lalu lintas,” katanya.