Utusan Malaysia, 31 Mei 2022 

Oleh ARIF AIMAN ASROL

PETALING JAYA: Pengangkutan awam seperti bas mini yang popular sekitar 1990-an perlu dikembalikan bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya apabila masyarakat tertarik untuk beralih menggunakan pengangkutan tersebut.

Sistem pengangkutan awam semasa kini tidak efisien hingga menyebabkan ramai yang memilih menggunakan pengangkutan persendirian kerana lebih mudah untuk melakukan perjalanan keluar masuk dari luar bandar ke ibu kota.

Pensyarah Pusat Pemanduan Bijak (SDRC), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Madya Dr Munzilah Md. Rohani berkata, memberi nafas baharu kepada sistem bas mini adalah langkah terbaik dalam menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.

Menurut beliau, pengangkutan yang efisien akan membuang stigma masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam dan mengalakkan mereka melakukan perjalanan tanpa menggunakan pengangkutan persendirian

“Kita memperkenalkan semula atau memberi nafas baharu kepada sistem pengangkutan bas mini adalah salah satu langkah yang bagus kerana ia mudah untuk masuk kepada kawasan pinggir bandar jadi ia memudahkan pengguna lalu mampu menaikkan permintaan terhadap pengangkutan awam.

“Kadangkala jika kita lihat di beberapa kawasan, perhentian bas jauh dari perumahan, ditambah pula dengan cuaca panas menyebabkan masyarakat.tidak rela untuk berjalan. Jadi dengan adanya bas mini ia boleh mengambil penumpang di lorong-lorong perumahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau menambah, penggunaan bas mini sudah dipraktikkan seperti di Hong Kong, Amerika Syarikat dan Jepun dengan menjadi pelengkap kepada sistem bas standard untuk ke kawasan pinggir bandar.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, jumlah kenderaan berdaftar sebanyak 33 juta iaitu hampir menyamai bilangan penduduk di negara ini menjadi punca utama kesesakan teruk di bandar dan jalan-jalan utama.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Metro System Academy, Mohd. Fahmy Abdullah berkata, beberapa model dari negara-negara luar boleh dijadikan rujukan supaya masalah kesesakan lalu lintas boleh diselesaikan secara menyeluruh dan sistematik.

“Ada model, kenderaan persendirian yang memasuki bandar pada waktu-waktu tertentu dikenakan caj. Di Sweden, bayaran khas dikenakan pada hari bekerja.

“Di Sepanyol mereka menggunakan teknologi Smart iaitu mengawal trafik dan mengurus ruang tempat letak kereta kerana salah satu punca kesesakan adalah sebab ketiadaan tempat letak kenderaan jadi teknologi itu membolehkan kita lihat ruang tempat kereta kosong.

“Di England, mereka memberi cadangan kepada masyarakatnya mengenai jalan mana yang perlu digunakan untuk kenderaan bermotor. Seperti laluan di sebelah sesuai untuk pejalan kaki, bas ataupun basikal, maksudnya ia memberi penerangan kepada pengguna,” jelasnya.

Mengulas usaha mengembalikan penggunaan bas mini, katanya pengangkutan tersebut sudah dipraktikkan .di negara-negara besar seperti di Hong Kong, Amerika Syarikat dan Jepun di mana ia menjadi pelengkap kepada sistem bas standard untuk sampai ke kawasan pinggir bandar.