BATU PAHAT, 21 Apr 2022 – Pusat Teknousahawan Universiti (PTU), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan Majlis Penyerahan Surat Lantikan Penyelaras Keusahawanan peringkat universiti kepada wakil Fakulti, Pusat Pengajian dan Kolej Kediaman bertempat di Dewan Jemaah, Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.

Majlis ini diadakan bertujuan untuk menyerahkan surat lantikan penyelaras keusahawanan serta menyampaikan taklimat, penerangan dan garis panduan penyelarasan keusahawanan peringkat universiti bagi memperkasakan gerak kerja program keusahawanan pelajar.

Turut dibincangkan, perancangan pada tahun 2022-2023 berkaitan penambahbaikan prasarana dan ruang bagi keperluan inkubator perniagaan di fakulti, pusat pengajian, dan kolej kediaman untuk menyediakan ruang niaga yang kondusif kepada usahawan pelajar di UTHM.   

Majlis ini juga bertujuan menerangkan kepada penyelaras keusahawanan berkaitan panduan penyelarasan program keusahawanan di fakulti, pusat pengajian dan kolej kediaman sebagai mekanisme pengurusan dan pelaksanaan aktiviti mahupun program keusahawanan berpandukan kepada Garis Panduan Inkubator Keusahawanan Pelajar (IKP), tertakluk kepada Dasar Keusahawanan Pelajar UTHM.

Turut ditekankan, peranan  dan tanggungjawab penyelaras keusahawanan fakulti/pusat pengajian/kolej kediaman yang melibatkan gerak kerja seperti :

 

Merancang, menyelaras, menganjur dan melaporkan program keusahawanan bersasar yang berimpak tinggi

Merancang, menyelaras, menganjur dan melaporkan program keusahawanan pelajar secara bersasar yang berimpak tinggi bersama ahli jawatankuasa Fakulti, Pusat Tanggungjawab dan Kolej Kediaman berdasarkan buku Sasaran Kerja Tahunan Universiti (SKTU).

 

Mendapatkan data pelajar

Penyelaras Keusahawanan juga perlu mendapatkan data pelajar yang berminat dengan perniagaan, telah menjalankan perniagaan sama ada secara dalam talian atau fizikal, telah memiliki syarikat dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melalui sistem.

 

Menjalankan perniagaan sebenar

Memastikan pelajar atau syarikat pelajar yang mengambil kursus keusahawanan pada setiap semester menjalankan perniagaan sebenar secara praktikal berasaskan empat kategori iaitu karnival/ekspo, keusahawanan sosial bagi membantu komuniti setempat (projek kitar semula/projek pertanian dan berkaitan), pengurusan acara dan jualan secara dalam talian.

 

Memberi peluang perniagaan kepada pelajar atau syarikat pelajar

Memberi peluang kepada pelajar atau syarikat pelajar terlibat untuk berniaga dan menjadi pembekal dalam program anjuran Fakulti, Pusat Pengajian dan Kolej Kediaman.

 

Menganjurkan program keusahawanan

Menganjurkan aktiviti/program keusahawanan di Fakulti, Pusat Pengajian dan Kolej Kediaman satu kali per semester bagi menggalakkan pelajar atau syarikat pelajar berniaga secara praktikal.

 

Pensijilan profesional

Memastikan staf di Fakulti dan Pusat Pengajian mendapat pensijilan profesional keusahawanan atau kemahiran khusus dalam bidang berkaitan keusahawanan/pengurusan perniagaan yang dianjurkan oleh agensi/institusi dan bersedia melaksanakan program Training of Trainers (ToT) mengikut keperluan.

 

Mengenal pasti bidang tujah, memantau dan melapor kerja-kerja

Mengenal pasti bidang tujah yang berpotensi dijadikan program W@C melalui syarikat pemula pelajar. Seterusnya, penyelaras keusahawanan hendaklah memantau dan melapor kerja-kerja W@C yang dijalankan di Fakulti, Pusat Pengajian dan Kolej Kediaman.

 

Penyelia/pengurus inkubator/ruang niaga

Penyelaras Keusahawanan berperanan sebagai penyelia/pengurus inkubator/ruang niaga di Fakulti, Pusat Pengajian dan Kolej Kediaman. Walau bagaimanapun, lantikan tersebut bergantung kepada pengurusan Pusat Pengajian berkenaan.

 

PTU berharap usaha bersama penyelaras keusahawanan fakulti, pusat pengajian dan kolej kediaman ini akan berterusan ke arah menjayakan misi mencapai Tujuh Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Keusahawanan pada tahun ini sekali gus menuju ke arah Global Technopreneur University (GTU 2030).