Manfaatkan lintasan pejalan kaki, pelihara keselamatan diri

Photo by *angys* via Wikimedia Commons

Sejak dahulu sehingga kini, pelbagai isu keselamatan pejalan kaki diperkatakan di media massa, sama ada di media cetak mahu pun media elektronik. Di Malaysia, pejalan kaki merupakan golongan ketiga tertinggi yang terlibat dengan kemalangan maut selepas pengguna motosikal dan juga pengguna kereta. Berdasarkan ranking ini, keselamatan pejalan kaki menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha untuk mengurangkan risiko kemalangan terhadap mereka.

Terdapat banyak fasiliti yang telah disediakan oleh pihak kerajaan untuk menjamin keselamatan pejalan kaki bagi pelbagai peringkat umur untuk melintas jalan. Antara kemudahan yang disediakan seperti lintasan belang, lorong pejalan kaki, jejantas dan lintasan pejalan kaki berlampu isyarat. Kesemua fasiliti ini telah direka bentuk bagi memenuhi keupayaan dan keselesaan pengguna, dan paling penting ia dapat menjamin dalam aspek keselamatan pengguna terutamanya bagi golongan kurang upaya semasa melintas jalan.

Namun begitu, fasiliti laluan pejalan kaki untuk menyeberang yang disediakan oleh pihak kerajaan sebahagiannya seringkali tidak dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia. Malah ramai pengguna lalu lintas yang mengambil mudah dengan melintas menggunakan jalan raya walaupun sudah sedia maklum risikonya yang boleh mengundang maut.

Lebih menakutkan apabila ada di antara pejalan kaki yang melintas bersama kanak-kanak di kawasan yang berisiko dengan keadaan trafik yang tinggi walaupun terdapat jejantas disediakan dikawasan berhampiran. Antara alasan mereka, adalah kedudukan jejantas jauh, terlalu tinggi atau tidak menghala ke tempat yang dituju.

Alasan sebegini mencerminkan mentaliti masyarakat terhadap kemudahan awam dan risiko kemalangan adalah masih rendah. Bukan setakat itu, sikap pejalan kaki yang kurang memberi tumpuan atau kurang mengambil endah tentang keadaan trafik sewaktu melintas jalan dengan mengabaikan keselamatan diri dan orang lain adalah punca utama berlakunya kemalangan jalan raya yang melibatkan mereka.

Selain itu, tindakan pemandu kenderaan yang cenderung untuk memecut laju di jalan raya juga boleh menyebabkan risiko kemalangan kepada pejalan kaki. Terutama di lokasi yang tiada kemudahan lintasan pejalan kaki. Apabila kadar aliran trafik meningkat, jurang selamat atau ruang masa antara ketibaan kenderaan di tempat pejalan kaki boleh melintas jalan dengan selamat adalah semakin berkurang. Ini menyebabkan lebih banyak masa menunggu diperlukan sebelum dapat melintasi jalan tersebut.

Bagi mereka yang mementingkan keselamatan, mereka akan menunggu saat yang paling selamat untuk melintas. Walau bagaimanapun, kepada yang tidak sabar kadang kala sanggup menggadaikan nyawa dengan mengambil risiko dalam jurang masa yang singkat dan sanggup berdiri di tengah-tengah jalan untuk melintas. Pada ketika ini, keselamatan diri bukan lagi jaminan, sama ada mereka ini selamat melintas jalan tersebut ataupun terlibat dalam kemalangan. Sebab itulah lintasan pejalan kaki harus digunakan. Penyediaan laluan pejalan kaki penting kerana ia bukan sahaja membantu meningkatkan keselamatan pejalan kaki malah dapat melancarkan pergerakan manusia dan juga aliran kenderaan di atas jalan raya. Ia juga sekali gus dapat menjamin keselesaan orang ramai bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Sebagai pengguna jalan raya, alangkah baiknya mempraktikkan pembelajaran keselamatan jalan raya yang dipelajari ketika di sekolah. Begitu juga latihan yang diterima di institusi pemanduan ketika proses untuk mendapatkan lesen memandu. Pengguna jalan yang bijak akan sentiasa mengambil perhatian dengan peraturan asas jalan raya seperti penggunaan lintasan pejalan kaki, papan tanda dan simbol yang berada di jalan raya untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Ini termasuklah tidak menyalahgunakan fasiliti yang disediakan untuk golongan berisiko seperti pejalan kaki. Apabila setiap pengguna mengetahui dan sentiasa bertanggungjawab terhadap keselamatan ketika di jalan raya, risiko kemalangan sekali gus dapat dikurangkan. Jadi, soal keselamatan ini adalah hak dan tanggungjawab masing-masing. Kepada pejalan kaki, manfaatkanlah lintasan pejalan kaki ini untuk menjamin keselamatan diri.

 

 

Profesor Madya Munzilah Md. Rohani

Nurul Atiqah Osman dan Nurulain Nordin (Penulis Bersama)

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Artikel ini adalah sebahagian daripada projek KidSafe UTHM.

Categories
E-WacanaKejuruteraan Awam dan Alam SekitarRencana
Subscribe