Technopreneur berasal daripada gabungan perkataan teknologi dan entrepreneur. Teknologi merujuk kepada sesuatu yang memudahkan kerja manusia, manakala entrepreneur iaitu usahawan pula merujuk kepada kebolehan bekerja sendiri. Secara umumnya, technopreneur bermaksud mencipta sesuatu yang boleh membantu kehidupan manusia bagi tujuan memperoleh pendapatan.

Istilah technopreneur mula mendapat perhatian berikutan perubahan yang berlaku terhadap corak kehidupan manusia semasa. Ia bakal menjadi trend masa depan yang ditawarkan oleh dunia dan akan berkembang dengan pesat sejajar dengan keperluan kehidupan manusia. Para technopreneur membina kepakaran berdasarkan pendidikan dan latihan yang mereka perolehi dalam sesi kuliah atau eksperimen yang dijalankan. Mereka melihat teknologi sebagai faktor utama dalam pembangunan produk yang berjaya dan tidak hanya bergantung kepada networking, melobi dan pemilihan demografi pasaran. Ringkasnya technopreneur ialah usahawan moden berasaskan teknologi yang diterajui oleh inovasi dan kreativiti bagi menghasilkan produk berkualiti sebagai asas pembangunan ekonomi negara berasaskan pengetahuan (knowledge economy).

Menurut sebuah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Perangkawan Malaysia Jabatan Perangkaan Malaysia pada 27 Julai 2020 menyatakan bahwa lebih ramai siswazah dalam guna tenaga tidak penuh dan kadar pengangguran dikalangan siswazah telah meningkat sebanyak 22.5% pada tahun 2020. Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, “Persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan akibat pandemik Covid-19 pada 2020 dan telah memberikan kesan kepada kedudukan pasaran buruh. Keadaan ini telah menyebabkan bilangan siswazah menganggur meningkat ketara sebanyak 22.5 peratus (+37.2 ribu orang) kepada 202.4 ribu orang (2019: 165.2 ribu).

Tidak dapat dinafikan bahawa keadaan pasaran buruh yang mencabar berikutan pandemik covid-19 telah menyebabkan peluang pekerjaan yang lebih rendah dan peningkatan persaingan. Dalam menghadapi situasi ini, penguasaan ilmu yang berasaskan teoritikal berserta kemahiran dan kreativiti untuk meneroka peluang yang ditawarkan oleh bidang keusahawanan terutamanya dengan perkembangan teknologi dan pendigitalan atau ringkasnya technopreneur   dilihat sebagai salah satu jalan penyelesaian yang efektif.

Perkara ini telah menjadi faktor pemangkin kepada beberapa institusi pengajian tinggi untuk meletakkan hala tuju yang menggabungkan elemen-elemen technopreneur dalam misi dan visi masing-masing.  Anjakan paradigma baru ini dilihat sebagai satu pembaharuan yang seiring dengan perubahan iklim ekonomi dunia yang semakin mencabar. Beberapa universiti di dunia telah mula menawarkan program technoprenuership dalam sistem pendidikan yang dilaksanakan. Sebagai contoh,

Universiti Teknologi Nanyang di Singapura (Nanyang Technological University) atau dikenali sebagai NTU telah menawarkan program di peringkat Sarjana dalam bidang Technopreneurship. Selain itu, NTU turut menubuhkan sebuah pusat pengkajian khusus untuk mengkaji bidang-bidang yang berkaitan technoprenuership yang dikenali sebagai Nanyang Technopreneurship Center (NTC). Seiring dengan perubahan yang berlaku, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) turut mengambil langkah proaktif dalam menyediakan para ahli akademik dan pelajar-pelajar yang mampu bersaing dan menyumbang kepada perubahan landskap dunia pendidikan yang baru. Sehubungan dengan itu pada 12 September 2021 lalu, UTHM telah melancarkan Visi, Misi dan Hala Tujunya yang baharu bagi merealisasikan hasrat untuk menjadi sebuah universiti technopreneur bertaraf global serta berupaya melahirkan tenaga kerja mahir selari dengan keperluan industri.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat sedikit kerisauan tentang tahap kemampuan warga universiti untuk mereliasasikan hasrat yang baru dijelmakan ini kerana ianya didokong oleh nilai perniagaan atau business.  Dalam hal ini tidak semua dari warga universiti memiliki ciri dan nilai-nilai tersebut. Justeru adalah amat penting bagi kita semua untuk memahami perbezaan antara technopreneur dan entrepreneur. Terdapat beberapa kajian yang telah dijalankan bagi menjelaskan perbezaan antara kedua-dua istilah ini.

Secara ringkas, technopreneur ialah mereka yang mempunyai matlamat yang jelas, pengambil risiko, mempunyai motivasi yang tinggi, tabah, mengekalkan integriti, kreatif, dan responsif terhadap cadangan. Dimensi kritikal yang perlu dimiliki oleh seorang technopreneur ialah memiliki keinginan untuk menjadi usahawan teknologi, mempunyai pemikiran kreatif dan inovatif, serta berdaya tahan. Selain daripada itu sokongan dalaman dan luaran seperti keluarga, motivasi, kerohanian, pengetahuan teknikal, dan kemahiran vokasional juga sangat diperlukan. Aspek sokongan ini akan membantu usahawan teknologi menghadapi cabaran dan halangan apabila mereka menceburi bidang perniagaan berasaskan teknologi.

Sebagai sebuah universiti yang berasaskan teknikal, para graduan UTHM dilihat mempunyai kelebihan daya saing yang tersendiri kerana mereka sentiasa dilatih dengan ilmu dan kemahiran yang seiring dengan pekembangan teknologi yang terkini. Selain daripada itu, visi dan falsafah UTHM yang meletakkan paradigma tauhid sebagai teras utama dalam menyediakan penyelesaian teknikal untuk keperluan industri dan komuniti melalui penghasilan graduan yang kompeten, profesional dan berdaya keusahawanan dipacu teknologi termaju untuk pembangunan sejagat perlu dilihat sebagai sebuah pernyataan hasrat dan keazaman yang bersifat holistik dan komprehensif yang menggabungkan kekuatan aqli dan naqli.

Kerangka konsep paradigma tauhid yang menekankan kepada tiga hubungan utama iaitu hubungan manusia dengan penciptanya, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam yang berasaskan kepada tiga dimensi utama iaitu ilmu, iman dan amal adalah sesuatu yang unik namun ianya sangat praktikal untuk dilaksanakan dalam apa jua aspek kehidupan. Dalam konteks melahirkan para technopreneur yang bertunjangkan paradigma tauhid maka elemen-elemen kerohanian seperti niat, menjaga hubungan dengan Tuhan, ikhlas, integriti, sabar, tawadhuk dan bijaksana perlu dijadikan sebagai prinsip dan pegangan utama.

Selain daripada itu seseorang technopreneur juga perlu menguasai ilmu melalui pembelajaran yang berterusan, melakukan penyelidikan dan inovasi serta profesional dalam melaksanakan bidang tugas masing-masing. Para technopreneur juga perlu membina sikap dan keperibadian yang bersederhana, menjaga batas pergaulan, bertanggungjawab serta berusaha menyucikan jiwa dari sifat yang tercela dan mengembangkan fitrah yang baik untuk mencapai tahap kualiti insan yang baik di kalangan sesama manusia dan di sisi Tuhannya.

Sekali air bah sekali pantai berubah. Begitulah juga dengan hala tuju dan sistem pendidikan yang dilaksanakan. Perubahan demi perubahan pasti akan berlaku. Namun dalam kesibukan memenuhi pelbagai keperluan kehidupan yang sentiasa berubah adalah diharapkan agar nilai dan kualiti pelajar yang dihasilkan akan tetap diberikan keutamaan dan terpelihara. Justeru weltanschauung yang menggabungkan elemen rohani dan jasmani, duniawi dan ukhrowi dilihat sebagai mekanisma yang akan memelihara keseimbangan agar seseorang technopreneur itu menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan fitrah kefungsiannya sebagai seorang insan dan seorang hamba yang patuh kepada peraturan pencipta-Nya.

 

 

 

Dr. Halimi Mohd Khalid

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)