Israk dan Mikraj, perjalanan penuh hikmah

Kredit foto: ikimfm.my

Apabila masuk bulan Rejab, aura peristiwa istimewa iaitu Israk Mikraj semakin kita rasai. Sebagaimana kita ketahui, peristiwa ini merupakan mukjizat besar kepada Nabi Muhammad SAW.

Tiada yang mustahil bagi Allah SWT untuk menjadikan sesuatu yang dikehendakiNya. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa hampir sebulan dapat diselesaikan tidak sampai satu malam juga merupakan mukjizat yang tidak dapat dijelaskan dengan ilmu Sains. Begitulah besarnya kekuasaan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah al Israk : ayat 1, “ Maha suci (Allah) yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami.Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”.

Perjalanan Rasulullah dari Mekah (Masjid Al Haram ke Masjid Al Aqsa (Palestin) dibawa oleh malaikat Jibril menaiki buraq. Bukan itu sahaja, malah Baginda Rasulullah SAW diangkat sehingga ke Sidratul Muntaha melepasi langit ke tujuh untuk bertemu Allah SWT.

Ia merupakan hadiah kepada Rasulullah SAW kerana tahun yang sama merupakan tahun kesedihan (Am Al Huzni). Ini adalah kerana sebelum peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW menerima  ujian yang berat iaitu menerima tentangan yang hebat dalam dakwah Baginda  dan kehilangan insan kesayangan iaitu Siti Khadijah merupakan isteri Baginda Rasulullah SAW dan bapa saudara Baginda iaitu Abu Talib.

Antara yang istimewa dalam peristiwa Israk Mikraj ini, Baginda menerima perintah yang amat penting kerana kita dapat lihat Allah menjemput sendiri Baginda menerima perintah mengerjakan solat lima waktu sehari semalam.

Pada awalnya, Baginda menerima perintah 50 waktu solat, namun Rasulullah SAW memohon agar dikurangkan sehinggalah menjadi lima waktu sehari semalam. Justeru Baginda amat menitikberatkan kepada umat Baginda supaya tidak mengambil ringan dan tidak meninggalkan solat.

Justeru itu, penulis ingin kongsikan hikmah yang kita peroleh daripada peristiwa Israk Mikraj antaranya :

Kita dapat melihat cara didikan Allah SWT kepa

da Rasulullah SAW agar tidak lemah dalam usaha menyampaikan dakwah. Baginda Rasulullah SAW sentiasa dididik supaya kuat menghadapi apa jua halangan dan kesulitan yang datang. Maka di sini hikmahnya pendidikan amat penting untuk kita menghadapi ujian dan cabaran  kehidupan.

Jiwa yang suci membawa hati lebih dekat kepada Allah. Peristiwa Israk Mikraj ini mengajar kita supaya sentiasa membersihkan hati dan jiwa dalam perjalanan menuju bertemu Allah SWT.

Rasulullah SAW memohon keringanan waktu solat memberi hikmah agar kita semua tidak sombong, sentiasalah memohon kepada Allah tanpa rasa putus asa. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Kita dapat melihat kekuasaan Allah SWT yang tidak terbatas dalam peristiwa Israk Mikraj. Jadi kita sebagai manusia bukanlah sesiapa di dunia ini. Malah kita wajib berasa sangat kerdil dan mematuhi semua perintah Allah SWT. Berbaliklah sentiasa kepada Allah ketika kita menerima ujian, kesedihan mahupun kesenangan. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang-orang bersabar dan sentiasa mengingatiNya

“Wahai orang-orang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar.” Surah al baqarah: ayat 153.

 

Nurulisyazila Othaman

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Categories
E-WacanaRencana
Subscribe