Tatkala tahun 2021 melabuhkan tirainya, seluruh rakyat Malaysia sama-sama berduka dengan musibah banjir besar yang berlaku di beberapa buah negeri. Bencana alam yang terjadi saban tahun di negeri-negeri Pantai Timur dan negeri di selatan tanah air itu turut berlaku di kawasan yang tidak pernah dijangka akan berlaku seperti di Taman Sri Muda, Shah Alam. Kini kita telah memasuki tahun baru 2022. Adakah fenomena alam yang telah terjadi itu akan dilupakan begitu sahaja? Penulis ingin mengajak pembaca untuk menyelami hikmah di sebalik episod duka bencana banjir yang terjadi.
Rakyat Malaysia amat terkenal dengan sifat prihatinnya. Mana mungkin kita hanya sekadar menonton berita di media massa tentang rumah mangsa banjir yang tenggelam hingga menampakkan bumbung rumah sahaja tanpa menghulurkan bantuan. Rakyat yang tidak terkesan dengan bencana tersebut rata-rata bukan sahaja bersimpati, malah melahirkan rasa empati dengan menghulurkan pelbagai bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Bantuan yang dihulur bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, tetapi juga dalam bentuk makanan, pakaian, serta keperluan rumah. Malahan, terdapat sukarelawan yang datang jauh dari segenap pelosok negara untuk membantu pembersihan rumah mangsa yang terkesan setelah banjir surut.
Adakah kita belajar sesuatu hikmah yang tersembunyi di sebalik bencana banjir yang berlaku ini? Sebelum terjadinya bencana ini, ada di antara mangsa banjir yang kediaman mereka kosong tanpa sebarang perkakas rumah lantaran tidak mampu untuk membeli. Hikmah pascabanjir ini, rumah mereka mula terisi dengan barang-barang dan perabot hasil sumbangan orang ramai. Dalam kedukaan yang dihadapi, ada keceriaan yang tidak mampu dizahirkan dengan kata-kata. Dalam kesedihan yang melanda, ada rezeki yang hadir tanpa diduga.
Dalam pada itu, terdapat segelintir rakyat yang memiliki semangat rasisme yang tinggi. Dalam perkataan lainnya mereka memiliki semangat perkauman yang mendalam. Walau bagaimanapun, dapat kita lihat sewaktu bencana banjir ini terjadi, agensi kerajaan seperti anggota bomba disertai pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) berganding bahu dalam operasi menyelamat mangsa banjir yang terperangkap di kediaman masing-masing. Mereka yang menyertai usaha menyelamat ini terdiri daripada pelbagai kaum tanpa mengira latar belakang dan bangsa. Hal ini ternyata membuka mata pelbagai pihak bahawasanya semangat perpaduan rakyat Malaysia masih lagi utuh. Dengan itu, diharapkan agar ia mampu meleraikan semangat perkauman yang tertanam dalam jiwa.
Lantaran bencana alam yang terjadi ini juga, insiden tuding menuding jari menyalahkan pelbagai pihak mula timbul. Memang benar banjir ini terjadi kerana hujan yang terus menerus tanpa henti. Namun begitu, sampah sarap yang terkumpul hasil daripada air banjir yang bertakung mula mengundang persoalan lain. Mungkinkah dengan menjaga alam sekitar mampu mengurangkan impak kemusnahan harta benda akibat banjir ini?
Ada yang mengatakan alam ini murka kerana manusia tidak cakna dalam menjaga alam sekitar. Aktiviti pembalakan haram yang dilakukan secara berleluasa mengakibatkan hutan gondol dan menjadi punca banjir semakin buruk. Sampah sarap yang dibuang merata ke dalam sungai dan longkang pula menyebabkan sistem perparitan tersumbat. Sebelum bersikap menuding jari, tanya dahulu pada diri kita sendiri adakah kita sudah melaksanakan tanggungjawab kita menjaga alam ini? Diharapkan agar bencana banjir yang terjadi saban tahun di Malaysia ini mengundang kesedaran dalam diri setiap individu akan peri penting menjaga alam sekitar.
Bagi rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam pula, kejadian bah yang terjadi ini seharusnya melahirkan rasa insaf dalam diri akan kebesaran dan kekuasaan Maha Pencipta. Sesungguhnya tiada musibah yang boleh terjadi tanpa izin Allah. Bumi yang kian tua ini merupakan amanah daripada-Nya. Menjadi tanggungjawab setiap umat manusia untuk menjaga dan memelihara alam ini sebaik-baiknya. Bagi pihak yang memiliki kuasa untuk menjaga rakyat pula, jalankanlah tanggungjawab yang telah dimandatkan. Ingatlah bahawa kuasa manusia, kedudukan dan pangkat itu hanya sementara. Sebagai hamba-Nya yang beriman, ambillah iktibar dalam ujian banjir yang terjadi.
Kejadian banjir bukanlah suatu bencana alam yang asing lagi di negara ini. Janganlah kita menganggap bencana ini suatu fenomena alam yang normal tanpa mempelajari hikmah yang tersirat di sebaliknya. Bukalah mata hati dan jiwa, bukan sekadar mata kosong yang melihat tanpa berfikir.
Farhana Abd Hamid
Jabatan Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)