STAAD.Pro Professional Training pacu modal insan kelas pertama bidang kejuruteraan struktur

Kandungan program kompetensi bagi STAAD.Pro Professional Training.

Oleh Ir. Dr. Zainorizuan Mohd Jaini

BATU PAHAT, 12 Jan 2022 – STAAD.Pro Professional Training adalah merupakan salah satu inisiatif di bawah program kompetensi yang telah dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia sejak 2017.

Bermatlamat untuk memperkukuhkan kemahiran dan pengalaman pelajar secara hands-on, program kompetensi ini menawarkan latihan yang komprehensif dalam bidang reka bentuk struktur konkrit bertetulang, pra-tuang dan keluli.

Hasilnya, pelajar bukan sahaja dapat mengadaptasi teknologi dalam pembangunan kerjaya tetapi menjadi lebih bersedia dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

Pada awalnya, program kompetensi ini telah diwujudkan sebagai Structural Design Workshop untuk memenuhi keperluan pelajar dalam melengkapkan projek bagi kursus BFC34803 dan BFC44903. Bagi memenuhi permintaan daripada badan kerajaan dan firma perundingan swasta serta membolehkan pelajar memiliki nilai taraf yang lebih tinggi, STAAD.

Pro Professional Training telah diperkenalkan dan ditawarkan sebagai program kompetensi. Sehingga kini, seramai 432 pelajar telah diperakukan lulus dan telah menerima sijil masing-masing.

Program kompetensi yang dijalankan secara dua semester adalah merangkumi aspek praktikal, kajian kes, projek dan penilaian kecekapan.

Pelajar yang menyertai STAAD.Pro Professional Training didedahkan dengan kod piawaian terkini, analisis beban angin dan seismik berdasarkan MS1553 dan MS EN 1998-1:2015, reka bentuk struktur bagi bangunan tinggi dan fasiliti komersial, kekuda bumbung, asas dan sambungan.

Keseluruhan proses pengajaran dan pembelajaran adalah menggunakan perisian komputer yang ditawarkan oleh Bentley Systems, antaranya STAAD.Pro Connect Edition, STAAD RCDC, STAAD Foundation Advanced, ProStructures dan RAM Connection.

Walaupun berdepan dengan situasi Covid-19, program kompetensi ini tetap berjaya dilaksanakan secara virtual. Keberhasilan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sumbangan pakar-pakar daripada Structural Dynamics and Computational Engineering (StrucDyCE), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), ExxonMobil BSC Malaysia dan Rendang Technologies Sdn. Bhd.

FKAAB berhasrat untuk menjadi peneraju utama dan memainkan peranan yang aktif dalam menyediakan program kompetensi seumpamanya bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada jurutera muda negara.

Fakulti ini juga merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan Bentley Institute yang dimiliki oleh Bentley Systems iaitu sebuah syarikat pembangunan perisian pembinaan dan infrastruktur yang berpangkalan di Pennsylvania, United States.

Bentley Systems turut menawarkan lebih 50 perisian komputer berkaitan jalan dan lebuhraya, jambatan, rail dan transit, stesen jana kuasa dan penapisan minyak, kejuruteraan geoteknik, air serta hidraulik dan hidrologi.

Untuk menjadikan program kompetensi ini lebih holistik dan mampan, Building Information Modelling (BIM) akan turut diintegrasikan di dalam STAAD.Pro Professional Training. Ini tentunya akan memberikan manfaat yang lebih besar kepada pelajar.

 

*Antara reka bentuk struktur yang dilengkapkan oleh pelajar berdasarkan projek sebenar.

 

Categories
Kejuruteraan Awam dan Alam SekitarUTHM produces professionals
Subscribe