31 Pelajar UTHM peroleh Sijil Kompetensi HCIA Cloud Computing

BATU PAHAT – Seramai 31 orang pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menerima sijil HCIA Cloud Computing pada semester 2 20202021, yang merupakan sijil kompetensi dari Huawei.

Huawei menawarkan pelbagai sijil kompetensi dan profesional sejak semester 2 2020/2021 kepada beberapa institusi pengajian tinggi negara yang terpilih dalam menyediakan sistem pendidikan negara berasaskan industri bagi menyokong Industri Revolusi 4.0.

HCIA Cloud Computing memperkenalkan kursus pengkomputeran awan bagi menyimpan dan memproses data atau maklumat dalam pelayan (server) yang membenarkan perkongsian melalui internet.

Model ini membenarkan capaian rangkaian kepada himpunan sumber pengkomputeran seperti rangkaian, pelayan, storan, aplikasi dan perkhidmatan dengan lebih mudah melalui interaksi pengurusan yang minimum.

Dalam kursus ini pelajar didedahkan juga dengan peranti dan perisian terkini berasaskan teknologi Huawei dalam bidang pengkomputeran awan terkini.

Untuk rekod, kursus ini telah mula ditawarkan bermula semester 2 2020/2021, selama tiga semester berturut-turut dan ianya mendapat sambutan yang mengalakkan dari pelajar UTHM.

Selain itu kursus yang bersifat umum ini juga ditawarkan kepada semua peringkat pengajian, dari peringkat diploma sehingga doktor falsafah.

Bagi menjadikan kursus ini berkredit, FKEE telah mengorak langkah dengan mendaftarkan kursus ini sebagai kursus elektif pilihan program ijazah sarjana muda UTHM bermula semester 1 2021/2022.

Kumpulan jurulatih bagi HCIA Cloud Computing terdiri daripada staf akademik FKEE iaitu Profesor Madya Ir. Dr Abd Kadir Mahamad dan Ts. Dr Nan Mad Sahar yang telah memperolehi sijil jurulatih bertauliah (Certified Trainers) pada tahun 2020.

Kursus ini juga boleh dipelajari secara bersemuka atau MOOC bagi membolehkan pelajar mendapatkan latihan secukupnya sebelum menduduki peperiksaan sebenar.

Kursus ini sejajar dalam menyediakan pelajar dengan sijil kompetensi dalam Industri Revolusi 4.0 dan kebolehpasaran graduan.

 

Categories
Kejuruteraan Elektrik dan ElektronikUTHM produces professionals
Subscribe