KUALA LUMPUR, 23 Disember 2021 – Pensyarah Geomatik, Sr Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah dari Fakulti Kerjuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya memecah rekod sebagai penerima anugerah “Outstanding Writer in Property and Construction Award 2021 daripada Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM).
Bertambah manis apabila buat pertama kalinya anugerah ini dimenangi oleh penulis dari bidang geomatik sejak mula diperkenalkan pada tahun 2003.
“Saya melihat penulisan berkaitan geomatik dan ukur tanah untuk orang awam agak kurang dan penulis lain selama ini banyak memfokuskan kepada penilaian harta tanah.
“Tambahan lagi sebelum ini anugerah tersebut dimenangi oleh para wartawan yang mempunyai latar belakang bidang pengurusan, penilaian dan ukur harta tanah.
“Atas dasar inilah saya mula menulis bagi berkongsi ilmu dan kepakaran berkaitan bidang ini,” kata Dr. Nazirah.
Anugerah ini adalah untuk mengiktiraf kecemerlangan dalam kewartawanan khususnya pelaporan konstruktif profesion ukur, yang terdiri daripada ilmu geomatik dan ukur tanah, ukur bahan, pengurusan, penilaian dan ukur harta tanah serta ukur bangunan.
Anugerah itu juga untuk mengiktiraf pelaporan yang berkaitan dengan industri hartanah dan pembinaan melalui media cetak dan elektronik.
Selain itu, anugerah itu juga bagi mengiktiraf individu yang mempromosikan minat dalam profesion ukur kepada kerajaan, pengawal selia dan orang awam amnya.
Anugerah diberi berdasarkan kepada ciri artikel bertulis terbaik atau siri artikel dalam media elektronik atau media cetak.
Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Presiden RISM, Dato’ Sr Dr. Azhari Mohamed pada 21 Disember 2021 lalu bertempat di Mega View 1, Banquet Deck Hall, Menara Kuala Lumpur.