Selari dengan hasrat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia  (UTHM) yang ingin menjadikan universiti ini sebagai ‘Global Technopreneur University’ menjelang tahun 2030 (GTU 2030), sekumpulan penyelidik daripada Kumpulan Fokus Tekno Bizz, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan telah bergabung tenaga dengan menganjurkan Program 4DiSeBiz bersempena dengan program UTHM Technopreneur Hackathon (UT-HACK2021) anjuran University Education and Training (UET).

Program dengan kerjasama Mobile Fiesta Management (MFM) yang mewakili pihak industri ini bermula pada Oktober 2021 hingga Januari 2022.

Menurut penyelidik Kumpulan Fokus Techno Bizz, Anim Zalina Azizan program UT-Hack2021 dianjurkan bertujuan mewujudkan peluang kepada pelajar untuk membangunkan kreativiti dan bergerak sebagai teknousahawan yang berjaya pada masa hadapan.

“Hal ini adalah seiring dengan peranan universiti yang menjadi medium untuk melahirkan mahasiswa yang kreatif dan inovatif,” katanya.

Ianya bertujuan memberi pendedahan kepada seluruh pelajar dalam aktiviti kreativiti, inovasi dan keusahawanan, selain membuka peluang kepada pengusaha-pengusaha mikro, kecil dan sederhana untuk bersama terlibat dalam pemindahan pengetahun dalam bidang keusahawanan.

Program peringkat kebangsaan ini membuka ruang dan peluang kepada seluruh mahasiswa di seluruh institusi pengajian tinggi, pelajar kolej komuniti, kolej vokasional, sekolah menenangah dan rendah.

Dengan bertemakan ‘Toward Global Technopreneur Workforce’, program 4DiSeBiz menawarkan empat webinar secara percuma dan empat pertandingan secara berbayar.

Webinar percuma tersebut adalah terdiri daripada Webinar Infografik Kanvas Model Perniagaan, Webinar Video Viral, Webinar Tuntas Perniagaan dan Webinar Inovasi Produk.

Berdasarkan empat webinar tersebut, peserta berpeluang untuk menyertai pelbagai pertandingan secara berkumpulan iaitu Pertandingan Infografik Kanvas Model Perniagaan, Pertandingan Video Viral, Pertandingan Tuntas Perniagaan dan Pertandingan Inovasi Produk.

Tambah Anim Zalina, teknousahawan tempatan perlu mengambil langkah lebih proaktif dengan meningkatkan daya kreativiti dan inovatif jika ingin setanding dengan teknousahawan bertaraf dunia.

Bukan itu sahaja, pendekatan komprehensif perlu dirangka bagi membantu dan memantau aktiviti keusahawanan dalam kalangan usahawan belia, mahasiswa dan usahawan baru.

“Usahawan-usahawan ini perlu lebih berpandangan jauh, meningkatkan jati diri, keluar daripada zon selesa dan mencabar diri sendiri untuk ke peringkat global agar tidak hanya menjadi jaguh kampung semata-mata.

“Berdasarkan analisis tren terkini, penglibatan golongan ini dalam bidang perniagaan adalah sangat tinggi, namun mereka hanya terbatas menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan sahaja.

“Alasan menceburi bidang perniagaan hanya semata-mata kerana ingin mendapatkan pendapatan kelangsungan hidup semata-mata ataupun sebagai pendapatan sampingan untuk meningkatkan taraf hidup perlu diubah.

“Persepsi tipikal ini wajar diberi nafas baharu melalui pendekatan teknologi dan kemahiran yang memberi pulangan lebih besar dan berimpak tinggi agar usahawan tempatan mampu melangkah lebih jauh di peringkat global,” katanya.

Pelajar, mahasiswa, pengusaha mikro dan IKS boleh mengambil peluang mempromosikan produk dan perkhidmatan sedia ada dengan melayari www.uthmet.edu.my/ut-hack2021 untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung program atau menghubungi Puan Hafizah (013-7008237), Dr Suhaimi (019-7209500) dan Puan Nana (017-6537678).