UTHM terpilih sertai TUBE@IPT, mahu hasilkan ramai graduan usahawan

Oleh Dr. Mohd Yussni Hashim

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia) telah berkolaborasi dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menjayakan Program Tunas Usahawan Bumiputera 8.0 (TUBE 8.0) atau dinamakan sebagai Program TUBE@IPT.

Sebagai permulaan, satu majlis perasmian program TUBE 8.0 dan perjanjian persefahaman (MoU) TUBE@IPT telah diadakan pada 30 September lalu bertempat di Dewan Mahkota, SME Corp. Malaysia.

Program kolaborasi ini merupakan satu inisiatif kerajaan untuk menangani isu pengangguran dalam kalangan graduan bumiputera di seluruh negara, khususnya dalam keadaan ekonomi negara yang mencabar semasa pandemik Covid-19.

Ia juga bertujuan memupuk semangat keusahawanan bakal graduan, seterusnya meningkatkan minat mereka untuk menceburi pelbagai bidang perniagaan sebagai kerjaya pilihan. Ia juga bertujuan membentuk daya tahan dan jati diri pelajar dan graduan dalam mengendalikan perniagaan sendiri.

Melalui Program TUBE@IPT, graduan dibekalkan dengan pelbagai latihan dan persediaan komprehensif serta mampan, agar mampu menjadi usahawan yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat, dan negara amnya. Latihan semasa program ini akan dilaksanakan secara dalam talian bagi tujuan keselamatan dan mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Usaha yang diambil ini selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025, yang menggariskan 10 lonjakan antaranya “melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.” Lonjakan pertama ini memberi fokus kepada menganjak minda mahasiswa daripada menjadi pencari kerja kepada penjana pekerjaan.

Terdahulu, kesinambungan daripada Dasar Pelan Strategik Keusahawanan IPT 2013-2015 dan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2016-2020, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada 19 Februari 2021 lalu telah melancarkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK IPT) 2021–2025 dan Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu IPT.

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) antara lapan institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang terpilih untuk menjadi perintis kepada pelaksanaan program ini. Ia bertepatan dengan hala tuju UTHM iaitu menjadi sebuah Global Technopreneur University menjelang 2030.

Menurut  Penyelaras Program Tube@IPT, UTHM, Dr. Mohd Yussni Hashim seramai 52 usahawan siswa dan graduan telah mendaftar untuk penyertaan dan hanya 30 peserta yang terpilih menyertai program ini.

Tambah beliau peserta yang terpilih bukan hanya terdiri daripada pelajar Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, tetapi ada juga dari bidang kejuruteraan contohnya dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional serta graduan Pusat Pengajian Diploma (PPD).

Selain itu, empat penyelia atau lebih dikenali sebagai Kaunselor Perniagaan turut dipilih untuk membantu menjayakan program ini. Mereka mempunyai pengalaman dalam bidang keusahawanan serta pernah terlibat sebagai tenaga pengajar untuk program Tube sebelum ini.

“Pihak kami sangat mengharapkan para peserta mampu menggabungkan pengetahuan teknikal yang telah dipelajari dengan ilmu keusahawanan yang bakal dipelajari semasa program ini berlangsung.

“Diharapkan penyertaan peserta UTHM dalam program ini mampu membantu merealisasikan hasrat kementerian untuk melahirkan graduan yang mencipta kerjaya melalui perniagaan yang mereka jalankan,” katanya.

 

*Wakil peserta UTHM yang menerima surat tawaran program semasa majlis perasmian Tube@IPT 2021

 

*Peserta dan Kaunselor Perniagaan UTHM

 

*Taklimat program Tube@IPT peringkat UTHM secara dalam talian

Categories
Hal Ehwal PelajarKeusahawanan
Subscribe