BATU PAHAT, 21 Okt 2021 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima tajaan biasiswa bernilai RM312 ribu daripada Yayasan TRC bagi membantu pelajar berkeperluan yang terpilih meneruskan pengajian mereka di universiti ini.
Rentetan itu, UTHM telah menandatangani satu memorandun perjanjian (MoA) dengan Yayasan TRC pada 21 Oktober lalu dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.
MoA tersebut diwakili oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly manakala pihak Yayasan TRC pula diwakili oleh Tan Sri Dato’ Sri Sufri Hj. Mohd Zin selaku pemegang amanah.
Majlis tersebut juga diadakan bagi menyambut kedatangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad yang mengadakan lawatan kerja ke universiti ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan) KPT, Prof. Ir. Dr. Robiah Yunus, Setiausaha Bahagian Kewangan, KPT, Tuan Hj. Kamaruzaman Mahmood, Timbalan-timbalan Naib Canselor UTHM dan Pegawai-pegawai Kanan universiti.
Turut diadakan, pelancaran Program Sukarelawan dan Perunding Sosial Pelajar atau SOLVER yang disempurnakan oleh Dato’ Masrizal.
Program ini dilancarkan bertujuan membantu pembangunan pelajar dalam meningkatkan kesedaran dan keprihatinan mereka menyertai aktiviti khidmat masyarakat.
Menurut Tan Sri Sufri, selain pemberian biasiswa, sejumlah dana turut diperuntukkan kepada pelajar-pelajar yang terpilih untuk membantu mereka menjayakan program khidmat sosial berimpak tinggi anjuran bersama pihak Yayasan TRC dan UTHM.
Bagi memastikan agenda KPT dalam memasyarakatkan universiti tercapai, beliau yakin program ini mampu meningkatkan kemahiran dan sahsiah pelajar dan melahirkan graduan yang holistik serta menjadi rebutan industri kelak.
“Semoga kolaborasi ini akan berterusan bagi melahirkan ramai pelajar yang kompeten dalam industri sekali gus menjadi pelapis pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu. Dato’ Masrizal dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas penajaan biasiswa oleh Yayasan TRC yang telah disampaikan sendiri oleh Tan Sri Sufri.
“Dengan adanya dana ini, saya berharap UTHM mampu menjadi sebuah universiti yang terbaik antara yang terbaik dan dapat memberi banyak manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau yang mewakili KPT juga melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada UTHM kerana sentiasa berusaha menghayati dan memberi kerjasama yang baik dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif kerajaan dalam meningkatkan mutu pendidikan tinggi negara.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada universiti ini atas usaha yang berterusan membangunkan sahsiah pelajar serta pembangunan masyarakat ke arah yang lebih positif dan berminda kelas pertama.
Lawatan kerja tersebut turut melibatkan sesi penyerahan bakul makanan sumbangan MARA kepada pelajar berkeperluan, campus tour dengan menaiki bas elektrik ‘Ecoride’ dan lawatan ke pameran hasil penyelidikan universiti.
*Ucapan daripada Tan Sri Dato’ Sri Sufri Hj. Mohd Zin selaku pemegang amanah Yayasan TRC
*Lawatan ke pameran hasil penyelidikan universiti