Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMK-12) jelas bertujuan bagi menangani isu semasa serta memulih dan merancakkan semula pembangunan sosioekonomi negara. Pelan pembangunan yang berobjektifkan “Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan” ini merupakan RMK di separuh pertama Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dalam membawa kesejahteraan kepada keluarga Malaysia. Ia cuba dicapai dengan menstruktur semula ekonomi bersama penjajaran kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di bawah Agenda 2030.

RMK12 mempertaruhkan tiga tema, empat pemangkin dasar dan 14 pemacu perubahan. Pendekatan ini sangat penting dalam usaha memulihkan pertumbuhan ekonomi, menangani cabaran sosioekonomi, mengimbangi pembangunan antara wilayah serta meningkatkan daya saing negara pada era pandemik Covid-19.

Dalam pelaksanaan hal ini, komitmen penjawat awam sentiasa ditagih dan tidak pernah terlepas daripada tanggungjawab besar. Ia jelas digariskan pada pemangkin dasar keempat yang menegaskan tentang memperkukuh penyampaian perkhidmatan sektor awam. Usaha ini menumpu kepada i) membangunkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, ii) memantapkan pendekatan keseluruhan kerajaan dan iii) menambah baik pengurusan belanjawan serta projek.

Pertama membangunkan perkhidmatan awam berprestasi tinggi dapat dicapai dengan adanya penjawat awam berkemahiran memimpin, berdaya fikir inovatif dan bermandiri menghadapi cabaran. Nilai-nilai kompeten ini diyakini mampu meningkatkan pencapaian penjawat awam sekali gus meyakinkan rakyat terhadap perkhidmatan berkualiti seperti dijanjikan.

Untuk itu sudah tiba masanya peranan bahagian pengurusan dan kompetensi khususnya pembangunan modal insan setiap organisasi diperkasakan. Program latihan berstruktur dinamik, aturan kerja fleksibel, sistem ganjaran komprehensif, pelan penggantian jelas dan laluan kerjaya kukuh harus menjadi tumpuan. Menetapkan standard upaya yang lebih tinggi berbanding negara serantau juga perlu diusahakan.

Pemupukan nilai murni dan etika cemerlang merupakan aspek penting diambil kira dalam membina serta mengekalkan penjawat awam terbaik dan berprestasi tinggi. Penjawat awam harus menjadi suri teladan dengan keupayaan bekerja dalam satu pasukan serta tidak mementingkan diri sendiri semata-mata.

Oleh yang demikian RMK12 telah menyasarkan 90 peratus purata skor dalam Sistem Pengurusan Audit Nilai menjelang 2025.

Kedua memantapkan pendekatan keseluruhan kerajaan melalui proses dan sistem. Ia tertumpu kepada menambah baik pentadbiran dan kecekapan operasi, meningkatkan keupayaan membuat keputusan serta memperkukuhkan ekosistem tadbir urus. Semua ini menagih komitmen luar biasa seluruh penjawat awam. Sesungguhnya pandemik Covid-19 telah tidak memberi pilihan kepada penjawat awam untuk bertangguh dalam hal ini.

Sebagai contoh, transformasi pengetahuan dan penguasaan digital oleh penjawat awam bukan lagi satu pilihan tetapi satu kemestian. Dalam usaha memperluas inisiatif pendigitalan  pasca pandemik, penjawat awam perlu serius beradaptasi dengan cepat dengan menyingkir perasaan takut mencuba. Malah penjawat awam perlu bersedia dalam memperkukuh tadbir urus data terbuka.

Keupayaan membuat keputusan yang betul dan berkualiti oleh penjawat awam sangat-sangat diharapkan oleh rakyat! Ketidakupayaan ini mampu menjadi “duri dalam daging” dalam perkhidmatan awam sekali gus menggagalkan usaha pendekatan keseluruhan kerajaan. Kredibiliti ekosistem tadbir urus boleh terjejas dan musnah. Peranan penjawat awam sebagai ejen perubahan harus dipertahankan dengan menyandarkan nilai integriti, akauntabiliti dan ketelusan.

Dalam meningkatkan pendekatan keseluruhan kerajaan, RMK12 telah menyasarkan kedudukan Subindeks Kecekapan Kerajaan dalam World Competitiveness Yearbook untuk berada dalam kedudukan sembilan teratas menjelang 2025. RMK12 juga bercita-cita menetapkan Malaysia berada dalam 30 teratas dalam Kedudukan Indeks Persepsi rasuah oleh Transparency International.

Ketiga ialah memantapkan pengurusan belanjawan dan projek demi mencapai keberhasilan yang dikehendaki. Dalam RMK12 kerajaan berusaha meningkatkan pengurusan kewangan awam berhemat serta penyampaian hasil pembangunan yang cekap. Dalam hal ini, kemahiran para penjawat awam dituntut dalam keupayaan mengkaji semula rangka dan proses setiap peruntukan.

Keupayaan penjawat awam dalam menjajarkan semula keutamaan belanjawan khususnya projek-projek berimpak tinggi dan memberi manfaat rakyat terbanyak sangat diharapkan. Begitu juga dengan penambahbaikan keberkesanan pelaksanaan serta mempertingkatkan mekanisme penyampaian setiap projek yang dirancang dan diluluskan. Kecekapan penjawat untuk menganalisis dan menaakul khususnya mereka yang berada di peringkat pembuatan keputusan adalah sangat kritikal.

Oleh yang demikian menjelang 2025, RMK12 menyatakan komitmen bagi Peratusan Baki Fiskal kepada KDNK -3.5 peratus hingga -3.0 peratus. Manakala Skor Minimum Open Budget Indeks oleh International Budget Partnership telah disasarkan kepada kedudukan 61/100.

Sesungguhnya RMK12 merupakan satu usaha sangat mencabar demi kelangsungan pembangunan negara. Inilah masanya penjawat awam benar-benar berkorban dengan menumpahkan seluruh keringat kebijakan dan hening cipta masing-masing. Memulangkan kembali kepercayaan kerajaan dan rakyat dengan menunjukkan prestasi bersungguh-sungguh adalah sangat dituntut. Setiap penjawat awam perlu bersama-sama membina masa hadapan Malaysia yang lebih baik dengan kemakmuran yang boleh dinikmati semua.

 

Artikel ini juga diterbitkan di Berita Harian, 13 Oktober 2021

 

 

 

Dr. Lutfan Jaes

Pensyarah Kanan

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)