Oleh Wan Hanim Nadrah Wan Muda dan Nurhanim Saadah Abdullah

Batu Pahat, 9 Sept 2021 – Mengambil kesempatan dari situasi dan keperluan semasa, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) telah menganjurkan dua webinar bersama dua buah sekolah melibatkan lebih 60 guru secara berasingan.

Program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Ismail, Parit Raja dan Sekolah Kebangsaan Parit Markom, Benut ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pemahaman kepada guru-guru berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian terutamanya untuk penggunaan sistem DELIMA yang dikelola oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Program ini juga untuk meningkatkan kemahiran guru-guru dalam menggunakan platform bersesuaian dengan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.

Antara pengisian program ini ialah pengurusan Sistem Digital Education Learning Initiative Malaysia (DELIMA) yang diguna pakai oleh semua guru di seluruh Malaysia dan pautan terus ke aplikasi microsoft TEAMS.

Latihan yang diberikan berupa “real time training” selama dua jam tiga puluh minit itu membolehkan guru-guru mempelajari kaedah menjalankan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka menggunakan TEAMS.

 

 

Program ini telah disertai oleh guru-guru dari beberapa bidang iaitu bidang bahasa, kemanusiaan, sains dan matematik serta guru bidang teknik dan vokasional.

Webinar ini disampaikan oleh Dr. Nurhanim Saadah Abdullah dari FPTV yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik.

Beliau juga sangat aktif dalam penyelidikan pendidikan teknologi multimedia dan inovasi pengajaran dan pembelajaran dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) serta pendidikan kejuruteraan.

 

 

Webinar yang telah dijalankan di sekolah-sekolah terbabit lebih kepada perkongsian pengalaman penceramah dalam menggunakan aplikasi Google untuk pengurusan kelas secara dalam talian.

Latihan yang diberikan berfokus kepada komunikasi guru-pelajar, pengurusan kelas, pengurusan pelajar, pengurusan bahan dan pentaksiran ringkas.

Perkongsian kali ini juga berkisar tentang penggunaan Gmail, Goolge Calender, Google Meet, Google Drive dan beberapa aplikasi Google yang lain.

Menurut wakil pengurusan fakulti, Timbalan Dekan Penyelidikan, Pembangunan dan Penyelidikan, Ts Dr. Alias Masek, program seperti ini menjadi tanggungjawab golongan pendidik untuk terus menyebar ilmu dan berkongsi kepakaran

Maklum balas daripada guru-guru yang menyertai webinar ini rata-ratanya menyatakan rasa puas hati sepanjang webinar berlangsung sehingga tidak menyedari waktu latihan telahpun tamat.

Mereka juga berharap agar kerjasama antara kedua pihak dapat diteruskan pada masa hadapan agar dapat mewujudkan situasi “win-win.”

Program CSR sebegini dilihat sebagai salah satu platform pemindahan pengetahuan yang amat berkesan kepada guru-guru yang terlibat dalam memastikan proses PdP dapat berjalan dengan lancar sewaktu dunia dilanda pandemik ini.

Selain itu, program ini juga merupakan antara pendekatan dari pihak universiti dalam menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat setempat. Kerjasama antara universiti dengan komuniti seharusnya diteruskan walaupun secara maya untuk membantu meringankan beban, memberi manfaat dan kesejahteraan kepada komuniti.