UTHM sedia terima kemasukan semula pelajar ke kampus

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersedia menerima kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus bermula 15 Oktober ini. Menurut Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly  kemasukan pelajar...

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersedia menerima kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus bermula 15 Oktober ini.

Menurut Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly  kemasukan pelajar ke kampus akan dilaksanakan secara berperingkat seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 14 September lalu.

Katanya universiti ini akan mengutamakan kumpulan pelajar yang berkeperluan untuk pulang ke kampus namun hanya membabitkan mereka yang sudah lengkap vaksinasi.

“Keutamaan akan diberikan kepada pelajar baharu yang memerlukan pengalaman menjalani kehidupan di kampus dan juga pelajar tahun akhir yang perlu menghabiskan pengajian mereka mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.

Tambah beliau, pihak universiti akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin dan tiada penularan di kampus.

Beliau turut menyokong langkah pengurangan yuran sebanyak 20 peratus bagi semester satu sesi akademik 2021/2022 kepada semua pelajar.

“70 peratus pelajar kami datangnya dari keluarga golongan B40 dan mereka ini kebanyakannya terkesan dari segi ekonomi akibat pandemik ini.

“Oleh itu, UTHM telah menyediakan peruntukan RM4 juta untuk membantu golongan ini bagi memastikan mereka dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa pada semester akan datang.

“Bagi aspek kadar vaksinasi dalam kalangan warga UTHM pula, sehingga hari ini 97 peratus staf dan 83 peratus pelajar sudah lengkap divaksinasi.

“UTHM akan terus memastikan semua staf dan pelajar melengkapkan dua dos vaksin  menjelang akhir September ini,” katanya.

Sementara itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM juga turut menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi berkenaan pembukaan kampus secara berfasa dalam memastikan sistem Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) di IPT terus relevan.

Menurut Yang Dipertua MPP, Muhammad Faris Abdul Hadi hasil tinjauan kilat yang dibuat rata-rata pelajar gembira dan tidak sabar untuk kembali merasai semula kehidupan di kampus dan menghadiri kuliah secara fizikal.

 

Berita ini juga diterbitkan di pautan berikut..

1. Berita Harian, 15 September 2021

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/864235/uthm-sedia-dana-rm4-juta-bantu-pelajar-b40

2. Harian Metro, 15 September 2021

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/09/755016/uthm-sedia-terima-kemasukan-semula-pelajar-ke-kampus

 

Categories
Berita UmumLatest News

RELATED ARTICLE